KOTA BHARU - Seorang pengamal perubatan Islam tidak menolak kemungkinan sihir antara punca kejadian histeria di beberapa sekolah di negeri ini.
Pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Qalam, Datuk Seri Baharudin Abu berkata, ada banyak faktor yang menyebabkan kejadian itu termasuk perasaan dengki atau iri hati terhadap seseorang.
Baharudin meminta pengiring mangsa histeria merasakan sesuatu di dalam perut
ketika rawatan sedang dijalankan. - Foto oleh JAZALY AMRY JAAFAR
“Walaupun perkara ini tidak masuk akal, namun ia mungkin terjadi di mana-mana.
“Oleh sebab itu kita perlulah menghadapi setiap perkara yang berlaku dengan tenang dan sentiasa mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Nampak lembaga hitam, berbulu dan berwajah hodoh]
Terdahulu, Baharudin mengadakan kunjungan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, di sini.
Dalam kunjungan bersama wartawan Sinar Harian semalam, suasana di sekolah yang diserang histeria minggu lalu itu tenang sejak sesi persekolahan bermula pada awal pagi lagi, sehinggalah tamat kira-kira pada jam 2 petang.
Pengetua Sekolah itu, Siti Hawa Mat berkata, sehingga semalam, keadaan sekolah telah kembali normal.
“Walaupun pada mulanya saya hampir buntu dan alami tekanan, namun alhamdulillah akhirnya sekolah kembali tenang dan pulih sepenuhnya.
“Pelajar-pelajar yang dirasuk dalam kejadian itu juga ramai di antaranya sudah boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa tanpa gangguan lagi,” katanya.
Siti Hawa berkata, dia turut berterima kasih di atas bantuan pihak Jabatan Pendidikan Kelantan, pihak Kementerian Pelajaran yang tidak jemu memberi sokongan dan bantuan dalam menghadapi situasi tegang itu.
“Memang ia memberi tekanan yang amat berat kepada saya sebagai pengetua namun saya anggap semua kejadian ini sebagai ujian dalam bidang pendidikan dan hadapinya dengan tenang.
“Saya juga amat terharu di atas bantuan banyak pihak selain guru-guru, pengamal perubatan islam dan pelbagai pihak yang tidak putus-putus menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Masuk sekolah buat rawatan
Dalam pada itu, pihak sekolah terbabit juga turut menerima sesi rawatan pemulihan dari Baharudin yang juga mengadakan kunjungan ke sebuah rumah pelajar diserang histeria tempoh hari.
Sebelum sesi rawatan bermula, riak wajah pelajar terbabit dilihat tidak tenang seolah-olah kelihatan terganggu.
Pelajar tingkatan empat itu yang turut ditemani dua guru sekolah disuruh mengambil wuduk dan diarahkan duduk di atas sejadah dengan menghadap kiblat.
Ketika sesi rawatan dilakukan, wajah pelajar itu disapu dengan kain putih sebanyak tiga kali dan keadaan wajahnya kembali tenang.
Sesi rawatan diteruskan dengan pelajar itu dibaringkan dan shinggalah Baharudin memberitahu pelajar itu sebenarnya mengalami gangguan jin.
Dalam sesi rawatan awal hampir 10 minit itu, perut pelajar itu ditekan sambil Baharudin membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam usaha mengeluarkan jin dalam perut pelajar terbabit.
Sesi rawatan lebih setengah lebih setengah jam itu akhirnya selesai, selepas makhluk halus yang mendiami badan pesakit akhirnya berjaya dikeluarkan dan ‘makhluk’ itu dibuang di dalam botol kosong.
Dekat diri pada ALLAH, baca al-Quran selalu
Baharudin berkata, perkara penting yang perlu dititik beratkan adalah hubungan dengan ALLAH, ibu bapa dan manusia.
“Jika perkara ini dijaga, maka seseorang itu tidak akan mudah diganggu makhluk halus dengan sewenangnya.
“Kunci utama adalah sentiasa dekatkan diri dengan ALLAH dan baca al-Quran bagi menghindari dari sebarang gangguan.
Baharudin turut menasihatkan agar pelajar sentiasa menjaga wuduk walaupun tidak menunaikan solat kerana ia merupakan antara benteng dan perisai untuk mencegah gangguan jin.
Baharudin berkata, selain itu kurangnya kebersihan diri dan lalai mendekatkan diri kepada ALLAH SWT juga menjadi pendorong untuk makhluk halus mudah berdamping dengan manusia.
“Apabila kita lalai, maka makhluk halus mudah mendekati dan menguasai diri seseorang.
“Segala-galanya berpunca dari hati dan diri individu itu, jika dia positif maka perbuatannya akan terzahir dengan cara yang baik manakala jika negatif maka ia akan dizahirkan sebaliknya,” katanya.