TELUK INTAN - Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan bekerjasama memperketatkan lagi prosedur standard operasi (SOP) penyediaan makanan di kantin sekolah seluruh Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah itu diambil berikutan beberapa kes keracunan makanan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, walaupun pelbagai latihan diberikan kepada pengendali makanan di kantin dan asrama sekolah, namun kes keracunan makanan masih terus berlaku.
"Semua operator kantin atau operator asrama telah diberi latihan maklumat oleh Kementerian Pendidikan dengan bantuan pihak kementerian saya dan walaupun ini telah dilaksanakan, namun kes keracunan makanan masih terus juga berlaku.
"Justeru itu,langkah memperketatkan SOP perlu dilaksanakan bagi menghalang kejadian kes keracunan makanan dari berulang,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Teluk Intan pada Khamis.
Mengenai lawatannya ke hospital itu, Dr Subramaniam berkata, langkah sedang diambil bagi meningkatkan sistem penyaluran udara di hospital berkenaan.
Katanya, antara langkah yang diambil ialah membuat penambahbaikkan kepada kemudahan yang sedia ada termasuk penambahan kipas supaya ia lebih memuaskan.
Selain itu, ujarnya, pihak kementerian akan membuat penambahan katil untuk tiga jenis rawatan salah satunya rawatan pesakit jantung dan rawatan yang memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap.
Menurut Dr Subramaniam, pada tahun lalu pihak Kementerian Kesihatan telah memberikan peruntukan sebanyak RM2.3 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan peralatan kepada Hospital Teluk Intan.
Katanya, bantuan seterusnya akan dibuat mengikut fasa untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit.