MANJUNG: Seorang wanita pemilik gerai maut selepas dihempap sebatang pokok balak yang tumbang berhampiran sebuah gerai di Teluk Senangin dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mangsa, Normadiah Adrus,54, yang berada di dalam gerai miliknya maut di tempat kejadian setelah pokok tersebut menghempap gerai tersebut.
"Mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan siasatan lanjut mendapati mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala," katanya kepada Suara Perak pada petang Jumaat.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Latif Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 12.04 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, pihak kami mendapati pokok balak tersebut telah tumbang dan menghempap tiga buah gerai dan kenderaan pacuan empat roda.
Abdul Latif berkata, pihaknya menggunakan jentera pemotong untuk memotong pokok tersebut dan memastikan kawasan tersebut selamat.
Operasi tamat sepenuhnya sekitar 3.05 petang.