IPOH: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak menasihatkan golongan ibubapa agar menjalankan pemantauan berterusan ke atas anak mereka yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pengarahnya, Mahadzir Elias berkata, pihaknya amat mengharapkan kerjasama ibubapa agar tidak menyembunyikan sebarang kecurigaan mengenai anak-anak mereka yang dipercayai terlibat dalam dadah daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, ibubapa harus mengelakkan persepsi bahawa AADK akan mengenakan hukuman serta-merta terhadap mereka, sebaliknya pencegahan awal boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Kes anak-anak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia ini semakin membimbangkan justeru, saya menasihatkan ibubapa agar jangan menyembunyikannya daripada kami kerana AADK akan membantu dari segi pencegahan awal.
“Kami mempunyai pelbagai khidmat nasihat dan bantuan yang boleh diberikan kepada mereka yang terjebak dengan gejala dadah, bukannya terus menangkap mereka, menghukum dan sebagainya, masih ada peluang untuk mereka berubah dan berfungsi dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas operasi AADK di sekitar daerah Ipoh yang dijalankan pada lewat malam Khamis bersama 11 anggota penguatkuasaan AADK.
Dalam operasi tersebut, seramai 13 penagih dadah, termasuk seorang bapa dan anak ditahan oleh AADK Perak.
Mahadzir berkata, dalam operasi bermula pada 7.45 malam hingga 1.30 pagi itu, sepasang kekasih dan tiga beradik turut ditahan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan daripada 15 individu yang berusia 17 hingga 51 tahun itu, 13 daripadanya termasuk seorang wanita didapati positif dadah pelbagai jenis.
“Kita akan menahan semua mereka di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk siasatan selanjutnya," ujarnya.
Katanya, siasatan ujian saringan air kencing mendapati 7 positif dadah jenis Methampetamin, 5 positif dadah jenis morfin dan seorang pula positif dadah jenis ganja.
Tiada rampasan dadah dilakukan pada operasi yang memakan masa sekitar tujuh jam itu.