KUALA TERENGGANU - Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias mengakui dengan bercakap dan memegang mikrofon membuat dirinya lebih bertenaga dan sihat.
Walaupun mengakui terpaksa menggunakan ‘gear satu’ ketika memulakan ceramah berbanding ‘gear lima’ sebelum ini, prestasi yang dipersembahkan itu masih mantap dan bertenaga seperti sebelum ini.
“Saya rasa agak janggal, hendak bercakap pun tidak reti. Kalau dulu terus masuk gear lima tetapi, sekarang ini perlahan-lahan kena guna gear satu,” katanya di hadapan hadirin yang hadir pada majlis ilmu bertemakan ‘Komuniti Prihatin, Kesejahteraan Terjalin’ di Dataran Shahbandar, di sini, malam kelmarin.
Ceramah kali pertama dihadiri Mohd Kazim selepas beliau berehat selama hampir dua bulan di sebabkan serangan sakit jantung sebelum ini adalah anjuran McDonald’s dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pada majlis ilmu itu, Mohd Kazim berjaya mengembalikan rentak ceramahnya dan dapat bercakap selama satu jam setengah di hadapan kira-kira 1,000 hadirin sebelum meneruskan program ceramah di Bukit Payong seterusnya ke Johor dan tempat lain.
Turut hadir, Datuk Bandar, Datuk Mohamad Kamil Othman; Pemilik Francais McDonald’s Kuala Terengganu, Mohd. Azmi Jusoh; Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk A. Rahman Yahya serta Pengarah Komunikasi Korporat, Golden Arches Restaurants Sdn Bhd, Rozita Ahmad.
Mohd Kazim ketika sidang media berkata, beliau mengakui dengan memegang mikrofon, bercakap dan melihat hadirin adalah penawar yang akan mempengaruhi kesihatannya dan menjadikan beliau semakin kuat dan sihat.
“Hari ini pertama kali saya jalan jauh selepas sihat dari sakit, selama ni saya boleh bercakap dalam 40 minit, hari ini saya cuba bercakap lama dan berjaya bercakap selama satu jam setengah. Jadi, saya percaya saya boleh balik kepada asal semula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Kazim turut memuji dan gembira terhadap penerimaan masyarakat di negara ini terhadap kunjungan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik ke negara ini.
“Beliau adalah pakar perbandingan agama, justeru kedatangannya ke negara ini membantu menjawab persoalan yang menjadi tanda tanya dan tidak terjawab.
“Secara langsung orang bukan Islam berpeluang bertanya soalan yang mungkin kita sendiri tidak mampu menjawabnya,” katanya.