top of page
muinsapidin

Perak Komited Kekalkan Hutan Hijau

IPOH – Kerajaan negeri Perak melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan kawasan hutan hijau dengan iltizam untuk menjadikan separuh daripada negeri ini diliputi dengan hutan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara inisiatif itu ialah penanaman semula lima juta pokok spesis tempatan dengan peruntukan tahun ini melalui Jabatan Perhutanan sebanyak RM8 juta dan RM6 juta lagi ses dari syarikat pembalakan.

Menurut beliau, sebelum ini beliau telah meletakkan sasaran sejuta pokok dalam tempoh dua tahun tetapi Jabatan Perhutanan Perak berjaya melaksanakannya hanya dalam tempoh setahun.

Dr Zambry Abd. Kadir dan Tun Jeanne Abdullah menyertai Kembara Rimba di Taman Eco Rimba Kledang Saiong pada Khamis.

“Ekoran daripada itu, saya telah mencabar Jabatan Perhutanan supaya meningkatkannya kepada tiga juta, seterusnya lima juta dan saya percaya mereka boleh melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2016 & Kembara Rimba Bersama YAB Menteri Besar Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Lanskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah,

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abd Rahim dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Zambry berkata, beliau akan meninjau kawasan hutan di negeri ini sekurang-kurangnya empat kali setahun untuk melihat sendiri keadaan usaha yang telah dilakukan.

“Saya telah menetapkan itu sebagai salah satu SOP kepada Jabatan Hutan, seperti mana yang diketahui, memang minat saya pun.

“Saya fikir kalau empat kali itu bukanlah satu bebanan kepada Jabatan Hutan, saya mengharapkan mungkin lebih daripada itu, dari semasa ke semasa saya akan turun, sama-sama mungkin setiap daerah kita turun nanti, mungkin itu pun boleh dimasukkan.

“Hari tu saya minta supaya pergi ke Belum tapi tidaklah begitu mencabar dan saya berharap akan melalui laluan yang lebih mencabar,” ujarnya.

Terdahulu di dalam ucapannya, Dr Zambry berkata, selain daripada mendapatkan laporan daripada Jabatan Perhutanan, beliau membuat tinjauan daripada udara untuk memantau keadaan hutan di negeri ini.


17 views0 comments
bottom of page