top of page
muinsapidin

Enam Teratak Kasih Untuk Suku Semai

TAPAH - Mungkin ada yang memandang remeh mengenai hubungan erat masyarakat Orang Asli dan alam semulajadi justeru menempatkan mereka di kawasan konkrit atau membina rumah serba moden untuk mereka.

Menyedari kepentingan alam dengan masyarakat pribumi Malaysia ini, sekumpulan pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengambil insiatif dan bekerjasama membina kediaman dengan sentuhan alam semulajadi. Naib Canselornya, Prof Madya Meor Mohamed Fared berkata, Program Teratak Kasih 3.0 merupakan satu akvititi yang kini memasuki fasa ketiga, dengan sedikit keunikan tersendiri untuk edisi kali ini.

Menurut beliau, jika sebelum ini mereka menggunakan bahan asas seperti pasir dan simen, namun projek fasa ketiga itu menggunakan daun bertam dan rautan buluh sebagai bahan utama pembuatan dinding enam unit rumah tersebut. "Kita menggunakan kaedah Industralised Building System (IBS) dan kita mengalakkan tukang seni bina tempatan dari Orang Asli dan sukarelawan serta pembina runah untuk mempelajari proses pembuatan dan pembinaan rumah- rumah ini. "Ianya berkonsepkan self-build di mana pemilik rumah bertuah akan berpeluang mereka bentuk bahagian dalaman rumah, menggunakan teknik konvensional dalam susunan pembinaan yang lebih ekonomi," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Rumah Projek Teratak Semai di Batu 6, Jalan Pahang, Tapah pada Khamis.

Prof Madya Meor (kiri) berkata, projek murni itu telah memasuki tahun keempat perancangan dan perlaksanaannya telah dibantu oleh pelbagai agensi swasta dan kerajaan melalui wang tunai atau bahan asas pembinaan setiap kali mana-mana fasa dibangunkan. Sementara itu, Tok Batin Kg Batu 5, Jahani Jahan (gambar bawah) berkata, beliau amat menghargai usaha berterusan pihak UPM dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang tidak putus-putus datang ke kampung terpencil mereka dan meringankan beban. "Kami ini sebagai orang pribumi memang tempat lahir dan pekerjaan kami berkembang di sekeliling alam semulajadi, justeru tindakan pelajar dan pakar membina rumah menggunakan bahan asas kami membuat pondok rehat amatlah dinantikan," katanya. Jahani berharap projek itu akan menggunakan teknik sama pada tahun hadapan dan diperbaiki dari masa ke masa bagi keselesaan penduduk kampong tersebut. Menyokong manfaat secara terus oleh kerjasama bersepadu agensi, pelajar, Orang Asli dan pihak swasta, kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah RM100,000 bagi membangunkan Projek Teratak Kasih 4.0.

Projek itu bakal dijalankan di Kg Batu 17 di mana sebanyak 18 unit rumah akan dibina bermula pada Ogos depan sungguhpun menguji iltizam para pelajar dan yang terlibat. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ianya disebabkan beberapa faktor seperti lokasi dan bekalan elektrik. "Ianya agak jauh, justeru kerajaan negeri melalui Pejabat ADUN Chenderiang akan membantu bagi menangani masalah seperti kos pengangkutan, binaan dan penempatan sukarelawan," katanya kepada Suara Perak. Menyentuh kembali pengalaman memajukan kawasan itu, Dr Mah berkata, beliau sudah sering melakukan melawat untuk menambahbaik keselesaan mereka Katanya, pembinaan itu adalah satu simbolik perjalanan memastikan masyarakat Orang Asli tidak tertinggal dalam arus pembangunan moden Malaysia.


31 views0 comments
bottom of page