top of page
muinsapidin

Tiga Sekeluarga Terpaksa Tinggal Dalam Kereta

IPOH – Akibat kesempitan wang, sebuah keluarga terpaksa menjadikan kereta lama sebagai kediaman baharu selepas terpaksa keluar dari rumah yang disewa di Taman Kinta, Gopeng, sejak sebulan lalu.

Rengaiya menjadikan kereta lama mereka sebagai rumah untuknya sekeluarga.

Keadaan keluarga itu disedari setelah mereka bermalam di hadapan Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak sejak dua hari lalu kerana buntu untuk mendapatkan bantuan.

Itulah yang dilalui R Rengaiya, 51, dan isteri, N Karnagi, 44, serta anak mereka, R Vikneswaran, tujuh tahun.

Lebih menyedihkan, Rengaiya merupakan pesakit jantung dan buah pinggang manakala isterinya pula berstatus orang kurang upaya (OKU) apabila lumpuh kedua-dua kakinya dan desakan hidup itu juga menyebabkan anaknya itu tercicir daripada persekolahan.

Menurut Rengaiya, sebelum ini mereka menyara kehidupan dengan menjual bunga melur untuk kegunaan sembahyang.

“Namun, apabila tuan rumah meminta kami keluar, saya tidak mampu untuk menjalankan perniagaan dan selama sebulan itulah kami mencari rumah-rumah yang boleh kami duduki.

“Kami juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia tidak memadai kerana keperluan tinggi terhadap ubat-ubatan, lampin untuk isteri serta perbelanjaan harian,” katanya.

Rengaiya berkata, dia memohon pihak berkenaan dapat membantu mereka sekeluarga mendapatkan kediaman untuk disewa sebagai permulaan untuk merekameneruskan kehidupan.

“Sekiranya ada tempat tinggal, saya sedikit sebanyak boleh menyara kehidupan dengan menjual bunga melur di tepi jalan seperti mana sebelum ini. Bantuan kerusi roda juga diperlukan untuk isteri bergerak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah ditalian 016-5546655 atau 019-5168338


28 views0 comments
bottom of page