top of page
muinsapidin

Sungai Nyior Dicemari E-Coli

KUANTAN - Tiada sebarang peningkatan kes survelan age dilaporkan di Klinik Kesihatan Balok, di sini berhubung kandungan air Sungai Nyior yang didapati mengandung E-Coli yang tinggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, air Sungai Nyior tidak disalurkan ke loji air, jadi pengguna selamat daripada ancaman tersebut.

“Malah pencemaran di sungai itu hanya di sekitar kawasan berkenaan saja berdasarkan pemeriksaan dan tinjauan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman kesihatan kepada pengguna selepas JAS mengesahkan sungai tersebut mengandungi E-Coli.

Katanya, setakat ini tiada sebarang aktiviti dilakukan di kawasan tersebut.

“Cuma kita lihat ada pemancing persendirian yang menggunakan bot atau ditepi-tepi sungai di kawasan itu.

“Kita nasihatkan mereka tidak menjalankan aktiviti memancing di kawasan itu kerana dikhuatiri hidupan sungai telah tercemar,” katanya.

Dr Zainal Abidin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pencemaran berpunca daripada tapak pelupusan sampah dari Jabor dan faktor semula jadi hutan bakau di sekitar sungai berkenaan.

Katanya, bagaimanapun JAS memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut.

JAS Pahang semalam mengesahkan kandungan bakteria E- Coli berada dalam sungai tersebut disebabkan pelepasan sisa loji kumbahan manusia atau sisa najis daripada ladang ternakan haiwan.

Pihak terbabit kini sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap loji kumbahan atau pusat ternakan haiwan yang berkaitan dalam kes ini.

Kandungan E-Coli tinggi didapati terkandung dalam air sungai Nyior di perumahan Balok Baru selepas sampel air tersebut di analisa dan merupakan penyebab utama air sungai itu bertukar menjadi hitam.

Jabatan itu juga tidak menolak kemungkinan terdapat pihak melepaskan sisa tercemar itu pada waktu tengah malam tanpa disedari orang ramai dan pihaknya memerlukan masa untuk mencari bukti saintifik bagi mengetahui punca sungai itu tercemar dengan E-Coli.

Pada 23 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan aduan daripada penduduk berhampiran sungai tersebut yang mengundang kepada ketidakselesaan mereka kerana berbau busuk dan mata pencarian nelayan sungai dan tepi sungai semakin terancam.

Susulan aduan penduduk itu, pihak JAS melawat sungai berkenaan pada 24 Mac lalu dan mengambil sampel air untuk dianalisa.

Sementara itu, Adun Beserah, Andansura Rabu menggesa Jabatan Kesihatan mengeluarkan amaran dan arahan larangan masyarakat menjalankan sebarang aktiviti di sungai tersebut.

Katanya, sungai itu menjadi tumpuan aktiviti memancing serta mencari ketam oleh penduduk di sekitar.

“Jadi saya minta penduduk tidak menjalankan sebarang aktiviti penangkapan ikan atau ketam di sungai itu,” katanya.


22 views0 comments
bottom of page