MANJUNG: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh seorang tukang jahit wanita ditahan polis pada petang Selasa.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditangkap sekitar 2 petang dan dipercayai terlibat dalam pembunuhan yang berlaku pada awal pagi Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, suspek dipercayai mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa.
"Kami mempercayai bahawa terdapat sedikit permasalahan di antara suspek dan mangsa dan kini suspek akan direman bagi siasatan lanjut," katanya kepada Suara Perak pada pagi Rabu.
Sebelum ini, seorang tukang jahit wanita ditemui mati dengan kesan kelar pada leher di dalam kedai jahit miliknya di Jalan Muhamad, Sitiawan, pada pagi Selasa.
Mayat Ling Choo Mooi, 59, dijumpai oleh rakannya di atas lantai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pada pukul 9.30 pagi.
Ibu kepada dua anak itu mati di tempat kejadian selepas lehernya dikelar menggunakan senjata tajam.
Mohd Zailan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira setengah jam sebelum mayatnya ditemui.
"Siasatan mendapati tiada unsur-unsur rompakan di kedai itu berikutan kesemua barang peribadi milik mangsa berada di tempat kejadian,” ujarny sambil memberitahu, pihaknya belum menjumpai senjata tajam yang digunakan dalam pembunuhan tersebut.
Katanya, motif kejadian tersebut masih dalam siasatan dan suspek yang ditahan akan disoal siasat.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada Selasa untuk bedah siasat," tambahnya.