top of page
muinsapidin

Peluang Menyumbang Bersama Freemarket Parit Buntar

PARIT BUNTAR - Penganjuran Freemarket Parit Buntar yang bakal berlangsung di Surau Al-Syarif, Kuala Bagan Tiang di sini hujung minggu ini perlu penglibatan lebih ramai penyumbang prihatin bagi memastikan lebih ramai golongan penerima akan mendapat manfaat.

Jurucakap program Freemarket Parit Buntar, Mohd Said Ismail berkata, sehingga kini, pihaknya menerima pengesahan sekurang-kurangnya 30 penyumbang prihatin akan menyertai program yang bermula jam 8 hingga 11 pagi itu kelak.

Bagaimanapun, pihaknya amat berharap lebih ramai lagi penyumbang budiman akan tampil menyertai program itu bagi menyalurkan sumbangan dalam bentuk apa jua barangan dan servis perkhidmatan bermanfaat kepada penerima secara percuma.

Mohd Said Ismail

"Konsep Freemarket diketahui umum berfungsi sebagai satu platform menghubungkan sesuatu dengan mereka memerlukan tanpa melibatkan medium pertukaran dan pembayaran melibatkan wang ringgit.

"Program Freemarket yang sudah dipopularkan di seluruh negara sebenarnya hanyalah satu manifesti kejujuran individu untuk menerapkan budaya memberi kepada mereka yang memerlukan bagi menyuburkan amalan berkongsi dan nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.

"Bagi program kali kedua dianjurkan di Parit Buntar pada Ahad ini, pihak kami sememangnya memilih lokasi luar bandar dan majoriti penduduk kurang berkemampuan dalam menyebarkan amalan memupuk kebahagian dan kasih sayang sesama insan,"katanya sewaktu ditemui.

Mohd Said berkata, pihaknya memerlukan lebih ramai penyumbang baharu yang sudi menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan buku-buku ilmiah serta keagamaan terpakai untuk dimanfaatkan penduduk kampung di lokasi sasaran.

Selain itu, Mohd Said turut menggalakkan mana-mana individu menyumbang kepakaran atau servis perkhidmatan secara percuma kepada golongan penerima sasaran terutama dalam aspek kesihatan, perundangan dan kewangan.

"Mana-mana agensi kerajaan atau badan korporat yang berminat menjalani aktiviti CSR juga digalakkan menyertai program Freemarket ini kerana ini platform terbaik mendekati golongan memerlukan dengan cara lebih santai dan berkasih sayang.

"Dengan menghubungkan masyarakat pelbagai lapisan, Freemarket berharap dapat memperluas dan berkongsi perbuatan baik dan membentuk nilai murni kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat yang semakin terhakis,"katanya.

Walaupun ada pihak tertentu mempersoalkan mekanisme operasi Freemarket, Mohd Said menegaskan objektif Freemarket hanya sekadar menjadi saluran penyampaian barangan atau perkhidmatan baik kepada mereka yang memerlukan atau mungkin tidak berpeluang merasainya sebelum ini.

"Tidak semestinya anda perlu menjadi orang susah untuk mengambil barangan disumbangkan.

"Semua orang berhak mengambil barangan disumbang, dengan harapan sumbangan diterima menjadi titik tolak pengikat hubungan silaturrahim antara golongan penyumbang dan penerima.

"Sambutan program Freemarket Parit Buntar julung kali diadakan pada bulan lalu mendapat sambutan hangat dan kami mengharapkan perkara sama akan berlaku pada program susulan ini,"katanya.

Mana-mana individu atau badan korporat yang berminat menyertai program Freemarket Parit Buntar sebagai penyumbang boleh menghubungi Hanna (019-4433112), Said (019-5619304) dan Moon (011 -3233 5847) untuk keterangan lanjut.


9 views0 comments
bottom of page