top of page
muinsapidin

Lelaki Didakwa Tiga Pertuduhan Berkaitan Pengganas

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki berusia 22 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas tiga pertuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas dan merekrut seorang lelaki lain.

Tertuduh, Mohamad Azmin Shah Sharifudin didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas di Kampung Tersusun Salak Baru, Sungai Siput, pada Jun tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130G Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Azmin dituduh memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas di Kampung Tersusun Salak Baru pada 24 Mac 2016, kira-kira 6.55 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Lelaki yang bekerja sendiri itu turut dituduh merekrut seorang lelaki lain, Ahmed Shahir Johari sebagai kumpulan pengganas di Perkarangan Hentian Sebelah Salak, Kampung Tersusun Salak Baru di sini pada Ogos tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Azmin yang hanya mendiamkan diri selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dan kes disebut semula pada 25 Mei ini.


25 views0 comments
bottom of page