TUMPAT – Setiap kali bot warga emas, Abdul Rahman Yusof, 66, tiba di Pangkalan Kok Majid, pasti ada mata melilau dan tercari-cari bunyi enjin kereta Perodua Kancil.
Lebih mengujakan apabila bunyi deruan dari arah sungai Kelantan itu sebenarnya datang daripada sebuah bot yang menggunakan enjin kereta berkenaan.
Pak Man memandu bot penambang menelusuri sungai Kelantan.
Bagi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pak Man, ada sebab dia menukarkan enjin bot galah kepada enjin kereta Kancil pada bot penambangnya.
“Dengan usia pakcik, dah tak larat nak hidupkan enjin bot galah. Kena ada tenaga yang kuat untuk tarik tali enjin.
“Sekali nak hantar penumpang, sekali hidupkan enjin bot. Kalau ada lima trip, lima kali pakcik kena tarik tali enjin bagi dia hidup,” katanya.
Menurut Pak Man, dia mengusahakan bot penambang sejak 20 tahun lalu dan mula menggunakan enjin kereta Kancil tahun lalu.
Katanya, meskipun terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM1,150 untuk membeli enjin kereta Kancil terpakai, namun ia nyata berbaloi.
“Kalau sebelum ini badan pakcik lenguh-lenguh selepas pulang dari kerja sebab getaran enjin bot, tapi sekarang dah tak rasa lagi,” katanya.
Bagi sesiapa yang mahu merasai pengalaman menaiki bot itu, mereka boleh ke Jeti Kok Majid kerana Pak Man akan menunggu pelanggan seawal 7 pagi setiap hari.
Bagi perjalanan ke Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pulau Teluk Rejuna dan sekitar, Pak Man hanya mengenakan tambang RM2.
“Sejak guna enjin Kancil ini, tak pernah meragam lagi, malah semakin serasi dengan pakcik.
"Pakcik guna petrol. Setiap kali mahu hidupkan enjin, pakcik hanya tekan suis,” katanya.