top of page

Dana Unit PNB Beri Peluang Rakyat Kongsi Kekayaan Negara

muinsapidin

TAPAH - Dana-dana unit Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti ASNB, ASN dan sebagainya dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi kekayaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau percaya melalui unit-unit tersebut maka kekayaan negara boleh diagih-agih dan dikongsikan kepada rakyat dengan risiko yang paling minima.

Menurut beliau, ini kerana cara-cara dan kaedah yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui PNB memberi perlindungan kepada keluarga.

Beliau memberitahu, ketika kali pertama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) dianjurkan pada tahun 2000, jumlah dana rakyt dalam pelaburan unit-unit amanah PNB adalah hampir 36 bilion unit.

“Hari ini, jumlah itu telah melonjak kepada lebih 200 bilion unit iaitu setakat 31 Mac 2016 dan bagi tempoh yang sama, jumlah rakyat Malaysia yang meraih manfaat daripada dana-dana unit amanah PNB telah meningkat daripada 7.7 juta pemegang akaun kepada 12.65 juta pemegang akaun,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Aamanah Malaysia 2016 di Stadium Mini Tapah pada Rabu.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah.

Menurut Najib, program MSAM yang antara lain mengandungi seminar Pelaburan 360 di 142 daerah di seluruh Malaysia dan penubuhan Kelab Pelaburan Bijak PNB di 104 buah sekolah menengah di seluruh negara amat bertepatan kerana memberi pengetahuan kepada rakyat tentang kaedah bagaimana mereka boleh melabur dan mengurus kewangan keluarga.

“Salah satu perkara penting ialah soal tahap hutang isi rumah yang berada pada tahap 87 peratus daripada nilai KDNK pada tahun 2014 dan tahap ini telah meningkat kepada 89 peratus pada tahun 2015.

“Sebahagian daripada hutang isi rumah ini tidak dapat dielakkan kerana ia membabitkan hutang-hutang seperti pembelian rumah dan juga kereta hutang, kad kredit dan hutang lain yang ada hubungan kait dengan perbelanjaan kita dan oleh itu kita hendaklah mengawal perbelanjaan kita dengan sebaiknya,” katanya.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, bantuan yang dapat diberikan oleh PNB melalui seminar-seminar, dapat membantu rakyat untuk menguruskan soal perbelanjaan pendapatan dengan cara yang dapat menjamin masa depan.

Najib berkata, kerajaan akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat, misalnya kerajaan telah menjimatkan berbilion billion ringgit dari segi subsidi minyak Ron95, diesel dan gas.


14 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page