top of page
muinsapidin

Broker Hartanah Mati Ditetak

IPOH – Tidak sampai lima jam selepas mayat ditemui, polis menahan empat suspek termasuk dua wanita dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang broker hartanah di Tambun, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua daripada suspek ditahan di hadapan sebuah stesen minyak pada jam 3.39 pagi kelmarin, manakala dua lagi ditahan di Taman Sri Tambun pada jam 5.05 pagi.

Lokasi mayat mangsa ditemui awal pagi kelmarin. Gambar kecil: Selvarajoo

Menurutnya, bagi tangkapan pertama, mereka menahan seorang lelaki berusia berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun serta merampas dua telefon bimbit.

“Manakala, bagi tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan seorang wanita berusia 37 tahun serta merampas satu telefon bimbit dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

“Kedua-dua suspek lelaki direman mulai Isnin selama tujuh hari sehingga Ahad ini manakala dua wanita lagi direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Chang Keong berkata, dalam kejadian jam 11.24 malam itu, mangsa, S Selvarajoo, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di beberapa bahagian badan dan kepala berdarah di hadapan Dewan Badminton di sini.

Katanya, mangsa yang ditemui dalam keadaan terbaring dan pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian sebelah kanan kepala, lengan kanan dan paha kanan.

“Kita merampas sebatang kayu berwarna kuning, sepasang selipar hitam dan kepala kapak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Selain itu, sebuah kereta Perodua Myvi juga dijumpai berdekatan mayat mangsa dan semakan mendapati kereta itu milik isteri lelaki tersebut,” katanya.


9 views0 comments
bottom of page