top of page
muinsapidin

Tambahan PDK Bukti Komitmen Bantu OKU

IPOH - Kewujudan sebuah lagi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di daerah Kerian yang menjadikan jumlah keseluruhan kepada 40 buah di seluruh Perak, mencerminkan komitmen pelbagai pihak untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU & warga emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Jaafar Sidek Othman, pihaknya amat menghargai kerjasama semua pihak, termasuk BAIDURI yang menjayakan penambahan itu.

"Saya berharap moga pihak BAIDURI boleh adakan lawatan ke sana untuk lihat sendiri bagaimana ianya mula beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Boling PDK Negeri Perak 2016 Dan Pertandingan Persahabatan Boling BAIDURI-JKM di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli, ahli-ahli BAIDURI, para pegawai JKM, penyelia dan petugas PDK.

Pertandingan yang memasuki kali ketiga dianjurkan itu memperlihatkan bakat 54 orang pelatih daripada 9 daerah dalam sukan boling.

Keputusan tahun ini menyaksikan PDK daerah Kuala Kangsar mendapat tempat Johan disusuli Manjung di tempat kedua manakala Larut Matang dan Selama meraih tempat ketiga.

Sementara itu, menurut Saripah, BAIDURI akan menyusun program berkaitan PDK menerusi program pemukiman yang bakal dilaksanakan di daerah Kerian pada Mei nanti.

"Insya Allah kami akan ke sana tidak lama lagi, selain bertemu dan berbincang dengan penyelaras PDK di daerah terbabit.

"Selain memasukkan PDK itu di dalam senarai program bagi pembelian baju raya yang akan dijalankan pada bulan Jun tahun ini," kata Saripah.

Terdahulu, para pelatih PDK menyertai perlawanan boling di Ampang Super Bowl, Ipoh Parade sambil diiringi petugas dan penyelaras PDK.


22 views0 comments
bottom of page