TANAH MERAH - Seorang lelaki berusia 55 tahun cedera diserang seekor beruang ketika mencari madu lebah kelulut di kawasan semak belakang Masjid Mukim Batang Merbau, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Che Hasan Yaacob bernasib baik apabila terselamat namun mengalami cedera parah pada betis kiri akibat digigit binatang buas berkenaan.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan masuk ke dalam semak di belakang masjid itu untuk mencari madu lebah kelulut apabila beruang terbabit tiba-tiba muncul dan mengejarnya.
Mangsa bertindak melarikan diri dan cuba menyelamatkan nyawanya dengan memanjat sebatang pokok tetapi tidak sempat sebelum digigit beruang terbabit.
Walaupun betis kirinya digigit, mangsa terus melawan dengan menetak binatang buas itu menggunakan golok menyebabkan beruang itu melarikan diri dan masuk semula ke dalam hutan berhampiran.
Mangsa yang berlumuran darah kemudiannya menunggang motosikal ke Balai Polis Batang Merbau tidak jauh dari tempat kejadian untuk membuat laporan polis.
Mangsa diberikan rawatan kecemasan awal oleh seorang jururawat yang kebetulan berada di balai polis itu bagi menghentikan pendarahan.
Mangsa yang beralamat di Kampung Bukit Gading, dekat sini, kemudiannya dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian.