BATU KURAU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji kaedah pembungkusan semula keperluan harian supaya lebih mesra rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, melalui kaedah itu, keperluan harian akan dibungkus dalam kuantiti yang lebih kecil, sesuai dengan keperluan harian rakyat.
Menurut beliau, berdasarkan lawatan kerjanya ke Sungai Golok baru-baru ini, didapati kaedah itu mampu mengelakkan pembaziran di samping mengurangkan kos sara hidup.
Dalam masa sama, ujarnya, ia juga memberi peluang kepada peniaga supaya lebih kreatif dan inovatif untuk menarik lebih ramai pengguna.
“Jadi, mereka mampu untuk menggunakan wang harian mereka untuk membeli semata-mata untuk hari yang mereka mahu.
“Itu nak kita lakukan, dalam konsep culture consumerism, supaya yang kita buatkan ini memudahkan kita, bukan hanya apabila mengguna tetapi juga kepada peniaga-peniaga supaya mereka buat inovasi, kreativiti yang lebih menarik minat kepada pengguna-pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini pada Selasa.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh, Ketua Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab, ADUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan ADUN Kubu Gajah, Hasbullah Elias,
Pada majlis itu, Hamzah menyampaian zakat bernilai RM240,000 kepada 1,000 asnaf dan dua maahad tahfiz dari sekitar Batu Kurau.