KULIM - Hasrat seorang ibu yang mahu membawa anak lelakinya mengambil ubat di hospital bertukar tragedi apabila kenderaan dipandu terbabit dalam satu kemalangan di Taman Desa Aman, semalam.
Mangsa berusia lingkungan 50-an itu dipercayai datang dari arah Sungai Karangan dan memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback bersama seorang anak lelakinya berusia 15 tahun untuk ke Kulim mendapatkan rawatan mata.
Bagaimanapun, sewaktu tiba di simpang empat Taman Desa Aman, mangsa yang membelok ke kanan untuk ke Kulim tidak nampak kehadiran sebuah kenderaan Thailand jenis Isuzu D-MAX lalu dihentam di bahagian tepi.
Menurut sumber, mangsa tersepit akibat bahagian tepi dan depan kenderaannya remuk, namun anak lelakinya selamat.
“Manakala pemandu kenderaan Thailand itu tak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Dalam pada itu, Penolong Penguatkuasa Bomba, Azizi Abdullah berkata, Balai Bomba Hi-Tech menerima panggilan awam pada jam 8.21 pagi memaklumkan seorang wanita tersepit dalam sebuah kenderaan.
“Kita bersama lima anggota dan unit EMRS bergegas ke tempat kejadian. Setibanya di lokasi kita dapati mangsa seorang wanita berada di tempat duduk pemandu akibat tersepit.
“Operasi mengeluarkan mangsa telah dijalankan dan kita dapati mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian tangannya.
“Mangsa juga diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” katanya. - Sinar Harian