KAMPAR: Sekumpulan 14 pelajar termasuk enam kakitangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 294.4, Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini awal pagi Selasa.
Dalam kejadian sekitar 4.30 pagi itu, kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 33 individu yang menaiki bas dalam untuk menyertai Pertandingan Tilawah al-Quran di Jitra, Kedah sebelum insiden berlaku.
Gambar Hiasan
Kesemua mereka yang terlibat berusia di antara 18 hingga 39 tahun termasuk kedua-dua pemandu kenderaan dan pelajar-pelajar IKBN tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas ekspress dan sebuah kenderaan jenis lori Mitsubishi yang membawa muatan benih kelapa sawit.
"Kejadian berlaku apabila bas ekspress yang membawa sekumpulan pelajar dan kakitangan itu dalam perjalanan ke Ipoh dan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kiri.
"Akibat impak kemalangan itu, kesemua 13 pelajar termasuk lima kakitangan mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu bas ekspress yang juga kakitangan IKBN mengalami kecederaan di muka dan kaki," katanya kepada Suara Perak.
Jelasnya, pemandu lori muatan sawit itu hanya mengalami kecederaan luka di pinggang dan kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi rawatan lanjut.
Ng berkata, siasatan lanjut mendapati lori tersebut mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian kenderaan manakala bas ekspress tersebut rosak teruk di bahagian hadapan.
"Keadaan cuaca adalah baik di waktu malam dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya lagi.