top of page
muinsapidin

YBU Rancang Tambah 80 Lokasi Kedai Bergerak 1 Amanjaya

IPOH – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) merancang untuk menambah bilangan lokasi Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KBIAJ) secara berperingkat daripada 36 lokasi sebulan kepada 80 lokasi sebulan menjelang Ogos ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamed, sebagai permulaan YBU telah menambah bilangan kedai bergerak kepada 45 lokasi mulai April ini.

Beliau memberitahu, bagi program Kiosk Amanjaya pula, sasaran penerima bagi setiap tahun adalah seramai 250 orang, berdasarkan peruntukan semasa sebanyak RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi tahun 2015.

“Pada masa yang sama YBU akan membelanjakan RM200,000 peruntukan untuk tambahan 50 unit kiosk, menjadikan sasaran bagi tahun 2015 sebanyak 300 unit yang akan diagihkan kepada belia-belia yang layak di seluruh negeri,” katanya semasa menggulung Titah DiRaja pada persidangan Dewan Negeri di Ipoh pada Isnin.

Saarani berkata, bagi program `Bantu Kami Ke Sekolah’, pihak YBU akan menambah bilangan penerima daripada 4,800 orang tahun 2015 kepada 6,500 orang penerima yang layak bagi tahun 2016.

Beliau memberitahu, tambahan itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.04 juta iaitu peningkatan sebanyak 1,700 penerima atau 26 peratus tambahan bagi tahun 2016.

Dalam masa sama, beliau berkata, YBU merancang untuk mengagihkan sejumlah 120,000 kotak makanan bagi tahun 2016 berbanding 100,000 kotak tahun lalu.

“Cadangan ini melibatkan perbelanjaan sejumlah RM6.25 juta iaitu RM6 juta daripada bantuan kerajaan negeri dan bakinya sebanyak RM250,000 adalah daripada sumbangan korporat,” tambahnya.

Beliau juga memberitahu Dewan bahawa YBU merancang untuk memperkasakan lagi Skim Pinjaman Mikro Kredit melalui beberapa pendekatan, antaranya meningkatkan lagi amaun pinjaman maksima daripada RM30,000 kepada RM50,000 dan memendekkan tempoh kelulusan permohonan dari 30 hari kepada 25 hari.

Saarani berkata, pelaksananan ladang asnaf di Mukim Lekir memerlukan penyelarasan dan kerjasama dari Pentadbir Tanah dan Daerah dan Majlis Agama Islam Perak.

``Pembentangan kertas konsep projek dan mesyuarat penyelarasan dengan pihak yang terlibat akan diadakan secepat mungkin bagi menentukan peranan setiap pihak supaya perancangan yang telah dibuat dapat dilaksanakan dengan baik melalui sumbangan daripada pihak yang terlibat,’’ ujarnya.


59 views0 comments
bottom of page