top of page
muinsapidin

Perak Bebas Plastik, Polisterin Jun 2017

IPOH – Perak akan menjadi negeri bebas plastik dan polisterin menjelang Jun 2017, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Menurut beliau, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri bersama-sama agensi berkenaan akan melaksanakan kempen kesedaran pengurangan penggunaan bahan tersebut mulai Jun 2016.

Beliau berkata, kempen itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula Jun ini di mana penggunaan kedua-dua bahan itu tidak dibenarkan setiap hari Jumaat di kafeteria dan bangunan kerajaan negeri.

“Penyediaaan makanan bagi program-program kerajaan hendaklah dibuat secara bufet ataupun menggunakan bekas yang boleh diurai,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Dr Amin memberitahu, pada peringkat kedua kempen yang akan bermula Januari 2017, penggunaan kedua-dua bahan itu tidak dibenarkan setiap hari di kafeteria dan bangunan kerajaan negeri.

Dalam masa yang sama, kata beliau, larangan yang sama juga diperluaskan ke bangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri pada peringkat ketiga kempen.

“Peringkat keempat mulai Jun 2017, kita larang penggunaan dua bahan ini jabatan-jabatan, di agensi, termasuk agensi negeri dan persekutuan, termasuk juga orang-orang awam seperti premis di pasaraya, hyper market dan kedai-kedai runcit,” ujarnya.

Dr Amin meminta kerjasama PBT yang akan menguatkuasakan larangan itu di premis-premis yang berkenaan supaya mengambil langkah yang sewajarnya.

“Dan dalam masa yang sama, kita juga hendak menghargai pusat-pusat, premis-premis seperti pasaraya, hyper market dan juga kedai-kedai yang memberi kerjasama kepada kita selama ini untuk satu bentuk pengiktirafan oleh kerajaan negeri yanga akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan membincangkan larangan itu dengan pihak swasta, khususnya pengeluar bahan plastik dan polisterin supaya mereka boleh membuat persediaan.

Bagaimanapun, kata Dr Amin, beliau dimaklumkan kebanyakan daripada mereka telah sedia maklum mengenainya dan telahpun membuat persediaan.


19 views0 comments
bottom of page