IPOH - Satu pangkalan data akan dibangunkan bagi mendaftar dan mendapatkan profil semua peniaga dan usahawan yang berada di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembanguna Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, data itu akan digunakan bagi membantu dan memberi bimbingan kepada gologan itu secara sistematik dan efektif.
Menurut beliau, data itu merupakan salah satu tindakan dalam Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Ushawan 2016-2020 yang telah dibangunkan baru-baru ini.
“Ianya akan melibatkan kesemua agensi kerajaan dan diterajui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan antara agensi yang ada ialah PKNP, SMECorp, MARA, Tekun, SME Bank, KPerak dan NGO-NGO yang berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan lisan dari Datuk Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu) ketika Sidang DUN pada Isnin.
Menurutnya, dari data tersebut, usahawan akan dipilih untuk diberi bimbingan dan latihan pembangunan kapasiti, pemantapan pengurusan perniagaan, kepentingan inovasi dan teknologi serta bimbingan pencapaian sijil kualaiti dan pengiktirafan termasuk sijil halal.
“Usahawan yang berjaya akan diberi pengiktirafan melalui pendedahan melalui persidangan dan pameran produk di peringkat nasional dan global,” ujarnya.
Tambahnya, di bawah Pelan Tindakan Strategik itu juga, kerajaan negeri akan memberi penumpuan kepada enam fokus utama.
Beliau memberitahu, enam focus itu ialah pembangunan persekitaran mesra perniagaan, pembudayaan perniagaan, pembangunan kapasiti semua sector perniagaan, pemantapan pengurusan perniagaan, teknologi dan inovasi sebagai pencetus produktiviti dan pencapaian kualiti dan pengiktirafan produk.
“Ini amat jelas bahawa kerajaan negeri serius dalam hal membangunkan usahawan kita dalam berbagai sektor secara holistik di pelbagai peringkat peniaga mikro hinggalah ke peringkat usahawan dengan hasil tahunan menjangkaui RM1 juta setahun,” jelasnya.