top of page
muinsapidin

MB Inc Mangsa 'Political Propaganda' Pembangkang - Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menemplak wakil rakyat pembangkang atas sikap ‘double standard’ mereka terhadap MB Inc di Perak dengan menjadikannya bahan serangan setiap kali sidang Dewan.

Sambil menyifatkan serangan itu sebagai ‘political propaganda’ pembangkang, katanya isu yang dibangkitkan seperti laporan kewangan serta anak syarikat di bawah MB Inc bukanlah bersifat isu sebenarnya tetapi lebih kepada mainan politik untuk mewujudkan persepsi kononnya berlaku penyelewengan serius.

Dr Zambry berkata MB Inc yang ada di Perak adalah sama sepertimana syarikat MB Inc yang bergiat aktif sebagai rakan pelaburan strategik kerajaan negeri di Selangor, Kelantan dan CM Inc di Pulau Pinang tetapi kegiatan agensi ini tidak pula dijadikan isu.

Beliau berkata matlamat sebenar pembangkang bukan atas dasar ‘check and balance’ lebih kepada menggambarkan MB Inc sebagai satu institusi yang buruk, korup dan mengamalkan korisme.

“Mereka (pembangkang) mainkan berulang kali isu laporan kewangan kononnya MB Inc tidak telus dan bersih. Saya cabar mereka tunjuk bukti syarikat MB Inc di Selangor dan CM Inc di Penang sekiranya mereka pernah membentangkan laporan kewangan di sidang Dewan masing-masing.

“Kita sudah jelaskan tidak ada enakmen yang memerlukan laporan kewangan dibentang di Dewan tetapi itu tidak bermakna pengurusan kewangan MB Inc tidak melalui proses audit. Sebagai satu syarikat, audit adalah perkara perlu. Proses audit MB Inc pada masa ini dibuat secara dalaman dan audit luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar Dewan selepas sesi penggulungan di hari akhir persidangan DUN hari ini.

Semasa sesi menggulung, Dr Zambry mengulangi bahawa MB Inc mengamalkan pengurusan telus termasuk dalam pengurusan kewangannya dan ini terbukti dengan prestasi memberangsangkan agensi itu.

“MB Inc diaktifkan semula pada 2012 dengan fokus kepada pembangunan mineral dan pasir. Walaupun baru berusia tiga tahun dan dalam fasa merangkak, MB Inc sudahpun berjaya menyumbang kepada hasil negeri.

Royalti bahan batuan kerajaan telah meningkat daripada RM33.5 juta kepada RM44.7 juta pada tahun lepas. Bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja sehingga Februari, prestasi kutipan royalti telah meningkat 106 peratus iaitu RM13.9 juta berbanding hanya RM6.7 juta,” katanya.

Menjawab dakwaan pembangkang mengenai pengwujudan lima anak syarikat Amanjaya Natural Resources, Amanjaya Properties Ventures, Amanjaya Infrastructures, Amanjaya Utilities, Amanjaya Leisure and Hospitalities, Amanjaya Renewable Energy, Amanjaya Global, Dr Zambry berkata:-

“Anak syarikat ini ditubuhkan bagi tujuan melaksanakan operasi perniagaan strategik. Ianya perkara biasa dan tidak menyalahi undang-undang. MB Inc Selangor misalnya mempunyai 74 anak syarikat dan CM Inc kita tidak berapa tahu kerana aktivitinya tidak banyak didedahkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meluluskan tanah seluas 10,000 ekar di Pengkalan Hulu kepada MB Inc sebagaimana dituduh pembangkang.

Menurutnya MB Inc hanya diberikan kebenaran untuk melaksanakan kerja-kerja explorasi atas tanah tersebut berikutan kajian mendapati kawasan itu mempunyai kandungan deposit timah yang tinggi.

Dr Zambry turut menafikan dakwaan hasil doket pasir diambil alih dan dikuasai sepenuhnya oleh MB Inc.

Katanya pejabat tanah di setiap daerah masih menguruskan pengeluaran 4C dan K3 manakala MB Inc berperanan untuk memantau bagi memastikan tidak berlaku penipuan doket.


38 views0 comments
bottom of page