IPOH - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membina lima menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan talian komunikasi kepada rakyat di kawasan DUN Pengkalan Hulu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata, kawasan tersebut adalah di Kampung Pong, Kampung Alai, Kampung Kuak Hulu, Kampung Air Panas dan Lepang Nenering.
Menurut beliau, buat masa ini, pihak SKMM dalam perancangan untuk menaiktaraf menara telekomunikasi itu supaya dapat menyediakan liputan selular 2G dan 3G di sekitar kawasan DUN Pengkalan Hulu.
“Diharapkan penaiktarafan ini masalah liputan telekomunikasi di DUN Penghalan Hulu dapat diatasi,’’ katanya menjawab soalan YB Haji Aznel Ibrahim (BN - Pengkalan Hulu) pada persidangan Dewan Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.
Nolee berkata, bagi menara sedia ada yang memberi perkhidmatan 2G, pihak SKMM akan menaiktaraf menara tersebut di bawah peruntukan dana Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP).
Walau bagaimanapun, katanya, projek itu adalah mengikut fasa dan tertakluk kepada peruntukan yang telah ditetapkan.
“SKMM berharap sekiranya YB ADUN Pengkalan Hulu mempunyai maklumat mengenai kawasan yang mempunyai masalah berkaitan liputan telekomunikasi, boleh membuat aduan kepada pihak SKMM agar maklumat ini dapat digunakan bagi perancangan yang akan datang,’’ katanya.
Menurut Nolee, pihak SKMM menyedari kepentingan masalah liputan telekomunikasi kepada masyarakat dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian bagi setiap isu telekomunikasi di DUN Pengkalan Hulu.