IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menggunakan hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menangkis satu persatu tuduhan yang beliau anggap sebagai pembohongan daripada beberapa pemimpin pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Walaupun dalam keadaan bersahaja, sesi penggulungan Dr. Zambry (BN-Pangkor) yang padat dengan fakta sesekali mencuri perhatian dewan apabila beliau secara sinis mempersoalkan motif pembangkang menyerang kepimpinan kerajaan dengan tuduhan tidak berasas.
Antara intipati penggulungan beliau ialah mengenai dakwaan Mohammad Nizar (PAN-Changkat Jering) kononnya Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) mengenakan kadar yuran yang melampau sehingga mencecah RM40,000 bagi program ijazahnya.
Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai pembohongan yang boleh menjejaskan imej KUISAS sebagai institusi pendidikan negeri Perak, Dr. Zambry menjelaskan, kadar yuran pengajian KUISAS sebenarnya hanya berjumlah RM23,000 bagi program ijazah dan RM14,000 bagi diploma.
``Jangan kita buat tuduhan begitu sahaja, periksalah dahulu,'' kata Dr. Zambry sambil bertanya sama ada Mohammad Nizar ada mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan tersebut.
Menjawab tuduhan Mohammad Nizar kononnya satu padang golf akan dibina di KUISAS, Dr Zambry menyatakan rasa terkilan bagaimana bekas Pesuruhjaya Pas Perak itu boleh membuat dakwaan sedemikian.
Dr. Zambry berkata, beliau tidak faham bagaimana Mohammad Nizar tidak dapat membezakan antara padang golf dan kawasan rumput.
“Yang dimaksudkan itu adalah kawasan hijau. Kita tak bina pun padang golf. Cuma ada tanam rumput (yang kelihatan) seperti padang golf…itu sahaja. Takkan kerana itu (Nizar) boleh cakap KUISAS akan ada padang golf,” katanya sehingga mengundang gelak ketawa dalam dewan.
Mohammad Nizar pada mulanya hanya berdiam, bangkit mencelah dan berkata: "Maknanya, apa yang saya katakan adalah betul. Pangkor (Dr Zambry) tidak menafikan memang wujud perkara yang saya bangkitkan (dalam perbahasan). Pangkor tidak menafikan."
Dr Zambry yang dilihat menggeleng-gelengkan kepala kemudian menjawab: "Semuanya (tuduhan) itu tidak betul. Jadi saya menafikan. Tidak ada (padang golf). Saya sudah jawab semuanya tadi, takkan Changkat Jering masih tidak faham?
Tidak tahan digelar menyebar fitnah, Nizar bangun menjelaskan apa yang dimaksudkan sebenarnya adalah ‘mini padang golf’.
Dr Zambry menegaskan, apa jua penjelasan Mohammad Nizar, kawasan rumput berkenaan tidak wajar dianggap sebagai padang golf kerana ia tidak pernah dibina bagi tujuan tersebut.
Beliau sebaliknya menasihatkan Nizar supaya jangan sewenang-wenangnya mempercayai pemberi maklumatnya sebaliknya mengambil langkah memeriksa fakta sama ada betul atau tidak tuduhan yang dibuat.
“Sebagai seorang pemimpin dia mempunyai tanggungjawab besar untuk tidak berbohong dan sebar fitnah. Apabila dia bangkitkan sesuatu isu dan mengulanginya beberap kali dan ia dilaporkan oleh media, maka apa yang disebutkannya itu sudah menjadi satu fitnah,” katanya.
Abdullah Fauzi (BN-Kampung Gajah) kemudiannya meminta laluan untuk mencelah bertanya sama ada Mohammad Nizar patut membuat permohonan maaf pada Dewan kerana berbohong dan memfitnah.
Dr Zambry bagaimana pun berkata: "Terserahlah kepada Changkat Jering. Dalam perbahasannya, dia sebut kita semua akan berdepan dengan Allah kelak dan akan menjawab. Jadi, biarlah dia menjawab di hadapan Allah kelak."
Menteri Besar sekali lagi membongkar dakwaan Mohammad Nizar kononnya KUISAS akan menjalankan aktiviti perlombongan di tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada universiti itu.
Katanya, tanah seluas 5,500 ekar yang disebut oleh Mohammad Nizar dalam perbahasannya sebenarnya adalah kawasan tanaman kelapa sawit dan tanah seluas 1,000 ekar di Sungai Siput adalah untuk tanaman getah yang mana kedua-duanya diuruskan SADC.
Beliau turut menjelaskan isu parkir kakitangan yang dibangkitkan Nizar adalah isu remeh, malah menjelaskan bahawa pihak pengurusan KUISAS mengambil langkah mengkhaskan kawasan parkir kakitangan supaya keadaan laluan di universiti lebih sistematik dan tidak bersimpang siur.
"KUISAS pun bukanlah besar sangat jadi kawasan parkir yang dikhas itu adalah dalam jarak berjalan kaki sahaja dan ia tidaklah menyusahkan,” katanya.
Mengenai dakwaan KUISAS mempunyai hutang operasi sebanyak RM1 juta, Dr. Zambry sekali lagi mengemukakan fakta terperinci bagi menangkis tuduhan tersebut.
Malah, beliau menegaskan, kewangan KUISAS bukan sahaja ditadbir secara berhemah, malah mempunyai lebihan pendapatan melebihi RM3.9 juta yang boleh digunakan menampung kos-kos operasi pada masa akan datang.