top of page
muinsapidin

Skim RPT Akan Diteruskan Tetapi Dengan Konsep Berbeza - Dr Zambry

Kekangan tanah yang dihadapi kerajaan menyebabkan tiada lagi pembukaan skim Rancangan Perumahan Tersusun yang baru diwujudkan buat masa ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kerajaan negeri masih berhasrat meneruskan skim RPT dalam menyediakan kemudahan tapak perumahan kepada rakyat tetapi dengan konsep sedikit berbeza.

Katanya tidak lagi menggunakan kawasan yang luas, skim RPT baru yang dirancang melibatkan kawasan antara 3 hingga 5 ekar dan peserta juga tidak lagi diberikan lot tapak rumah yang besar.

Sebaliknya, kerajaan negeri, akan mewujudkan perumahan berkonsepkan rumah teres yang akan menyaksikan lebih ramai penerima skim ini.

“Kita sedang mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai bagi tujuan ini. Skim RPT ini akan diubah bagi memastikan lebih ramai peserta dapat menerima tapak rumah ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada soalan tambahan daripada YB Mohamed Ziad Zainal Abidin (BN-Manjoi) yang bertanya apakah penyelesaian kerajaan negeri bagi mengatasi kekangan tanah untuk mewujudkan RPT di Daerah Kinta.

Terdahulu semasa menjawab soalan asal Radzi Zainon (PAS-Sungai Rapat), Dr Zambry berkata, sejak RPT diperkenalkan pada tahun 1971, jumlah penerima RPT adalah pada 250,000.

Beliau juga menjelaskan bahawa Pejabat Tanah dan Daerah Kinta tiada perancangan bagi membuka kawasan baharu kerana kekangan kawasan tanah kerajaan yang sesuai untuk RPT di kawasan berkenaan.

“Namun sekiranya terdapat tanah-tanah kerajaan yang sesuai bagi tujuan RPT maka kerajaan negeri akan mempertimbangkan bagi pembangunan RPT tersebut,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bagi pecahan dan penyusunan lot-lot baharu yang lebih tersusun di kawasan yang sedia ada khususnya kawasan setinggan, kerajaan negeri biasanya akan memperkenalkan konsep insitu.

Dari segi pampasan, kata beliau, sekiranya ia melibatkan pengambilan bagi tujuan pengwujudan RPT dan untuk penyusunan semula bagi satu-satu kawasan itu, pada kebiasaannya kerajaan akan mempertimbangkan dalam bentuk exgrasia yang munasabah.


39 views0 comments
bottom of page