top of page
muinsapidin

Isu Nelayan Teluk Muroh: Zulkifli Bukan Nelayan Tulen

IPOH - Bantahan Zulkifli Hamid, salah seorang individu yang menghantar memorandum untuk mengekalkan struktur asal pantai Teluk Muroh tidak berasas kerana dia bukan nelayan tulen kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bantahan Zulkifli termasuk keseluruhan Badan Bertindak adalah tidak berasas kerana kebanyakan mereka bukanlah pemastautin asal perkampungan nelayan tersebut.

“Saya anak nelayan, dan saya tahu masalah sebenar yang dihadapi dan hanya mereka yang benar-benar duduk di kawasan situ tahu himpitan masalah yang telah dialami selama ini.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan Teluk Muroh adalah pendalaman dasar laut kerana buat masa ini, nelayan di situ hanya boleh mencari rezeki sewaktu air pasang, kena tunggu air pasang baru boleh keluar,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja semasa Sidang DUN di sini pada Isnin.

Dr Zambry berkata, ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin tidak pernah turun padang mendalami perkara tersebut secara terperinci walhal pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu.

“Samalah seperti pengikut-pengikutnya, atau mereka yang datang tiba-tiba menuntut perkara ini, dan membuat kecoh dan bising tanpa mengetahui niat sebenar kerajaan negeri yang ingin membantu nelayan tulen itu,” tegasnya.

Jelasnya, dalam konteks penyerahan memorandum yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada 25 Mac lepas, ianya adalah bersifat andaian untuk melindungi kepentingan sendiri dan tidak berasas terhadap cadangan pembangunan yang hendak dilaksanakan.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mendengar suara dan rintihan hati nelayan tulen yang mengutarakan masalah mereka akibat himpitan pemodenan kawasan terkurung di antara Marina Island dan Marina Cove.

“Mereka tidak memahami keadaan sebenar kawasan itu dan badan tersebut sebenarnya hanya dinaungi oleh individu tertentu yang lebih melihat kepada kepentingan dan keuntungan bermatlamat peribadi.

“Mereka juga langsung tidak memikirkan kesusahan orang lain dan orang luar serta tidak berhak untuk dikatakan mewakili nelayan sebenar Teluk Muroh,” katanya.

Sebelum ini, beberapa individu yang mendakwa mewakili nelayan Teluk Muroh sebagai Badan Bertindak telah berkumpul di hadapan perkarangan Bangunan SUK pada 25 Mac lepas dan menghantar memorandum kepada wakil Menteri Besar.


21 views0 comments
bottom of page