QUITO - ECUADOR. Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh manakala lebih 580 orang lagi tercedera selepas gempa kuat berukuran 7.8 skala ritcher menggegar kawasan berhampiran bandar Muisne, Ecuador, kelmarin.
Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang terperangkap
di bawah runtuhan di bandar Manta, kelmarin. Foto: AFP
Timbalan Presiden, Jorge Glas berkata, jumlah kematian dijangka meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat (Sar) sedang giat dijalankan, namun ia dikhuatiri berdepan kesukaran kerana cuaca buruk.
Gegaran itu menyebabkan lebih 260 infrastruktur musnah dan ia disifatkan sebagai gempa terburuk yang pernah melanda Ecuador sejak 1979.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa tersebut berlaku di kawasan laut cetek, iaitu pada kedalaman 19.2 kilometer.
Presiden, Rafael Correa turut mengisytiharkan darurat selepas kejadian gempa kuat tersebut.
Difahamkan, gegaran gempa bumi itu turut dirasai di Colombia manakala kerajaan Peru telah mengeluarkan amaran tsunami di kawasan pantai utara sebagai langkah berjaga-jaga. - BBC