IPOH – Caj wang sumbangan modal yang diseragam dan dikuatkuasakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Labuan telah dibincangkan secara mendalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, caj itu mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) sebelum dikuatkuasakan.
Menurut beliau, Lembaga Air Perak (LAP) sebagai pemegang lesen operator air dipertanggungjawabkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menguatkuasakan peraturan tersebut di negeri ini.
“Wang sumbangan ini adalah untuk tujuan pembiayaan bagi menaiktaraf infrastruktur sistem bekalan air ke kawasan pembangunan pemaju.
“Ia juga termasuk kos bagi pembinaan saluran paip utama dan tangki simpanan yang sepatutnya disediakan oleh setiap pemaju,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah diraja di Persidangan DUN Perak di sini pada Isnin.
Zainol menjelaskan, setiap pembangunan dikehendaki menyediakan sistem tangki simpanan sehari dengan kos yang perlu ditanggung oleh pemaju.
Mengenai kesan fenome El Nino, beliau memberitahu, ia telah menyebabkan taburan hujan di negeri ini berkurangan sebanyak 20 – 60 peratus menyebabkan sumber air di kawasan tadahan merosot, seperti yang berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Taiping Headwork.
Bagaimanapun, beberapa tindakan telah dilaksanakan untuk mengatasi kekurangan itu seperti menyalurkan bekalan dari Loji Gunong Semanggol dan Loji Air Terjun dengan tambahan 27 juta liter air sehari.
Merujuk kepada cadangan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN – Kampung Gajah) supaya LAP menaiktaraf sistem pengairan serta menggantikan paip-paip lama, Zainol berkata, proses itu dilaksanakan mengikut keutamaan dan peruntukan yang disediakan.
Beliau memberitahu, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), LAP telah membelanjakan sebanyak RM3.74 juta untuk menggantikan paip-paip lama sepanjang 30.5 kilometer di Kampung Gajah.
Beliau menambah, bagi tahun 2016, LAP memperuntukkan RM560,000 untuk projek penggantian paip di kawasan tersebut.