IPOH: Pengasas produk kecantikan dan kesihatan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman pada Isnin membuat laporan polis berhubung kewujudan beberapa akaun laman sosial Facebook palsu yang menggunakan namanya.
Laporan tersebut dibuat Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida di Balai Polis Jelapang di Ipoh kira-kira jam 3.40 petang Isnin, bagi meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Dr Vida dalam nada kesal turut menjelaskan golongan tidak bertanggungjawab itu turut mengemaskini status dengan memberikan harapan palsu menawarkan pemberian barangan mewah seperti beg tangan berjenama dan barangan lain.
Beliau mendakwa, sekitar satu juta orang telah berkongsi dan terpedaya dengan janji yang kononnya beliau akan menghadiahkan barangan mewah kepada mana-mana individu yang berkongsi status tersebut.
“Malah, pengumuman pemenang juga menggunakan ayat yang sering saya gunakan antaranya sayang-sayang, muah-muah dan sayang buat apa itu.
“Lebih mengejutkan apabila nama pemenang yang diumumkan itu dipautkan ke akaun video lucah. Kenapa jadi macam ni? Tak ada kerja lain ke?,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Jelapang.
Menurut beliau, perkara itu disedari pada 13 April lalu ketika beliau sedang melayari akaun Facebook melalui telefon bimbitnya pada jam 1 pagi di rumahnya di Ipoh.
Sebelum ini, beliau memberitahu telah mengesan beberapa akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya dengan pelbagai gelaran antaranya Dato Seri Vida, DSV Dato Seri Vida dan DS Dato Seri Vida LV Channel.
Katanya, perkara tersebut boleh menjejaskan reputasi beliau tambahan pula perkembangan beliau turut diikuti oleh ramai pengikut di seluruh Malaysia.
Dr Vida berkata, akaun sebenar Facebook miliknya didapati telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan kini beliau hanya mempunyai akaun Instagram menggunakan nama DatoSeriVida bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai dirinya.
“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis bertujuan untuk dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mencari dalang yang bertanggungjawab atas perkara tersebut,” jelasnya.