top of page
muinsapidin

25 Perhentian Bas Baharu Di Ipoh

IPOH - Sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan bagi pembinaan 25 perhentian bas baharu sekitar Ipoh selaras dengan penambahbaikan sistem pengangkutan awam dengan mengambil kira perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional. Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya telah menjalankan penstrukturan semula kaedah pelaksanaan sistem itu bagi memantapkan sistem pengangkutan di sekitar negeri.

Menurut beliau, projek perintis sistem pengangkutan awam di peringkat daerah juga sentiasa dipantau dan dikawal selia dengan sempurna untuk menambahbaik perkhidmatan bas henti-henti pada setiap masa.

Beliau berkata, sebelum ini, perjanjian bagi perkhidmatan di bawah pelaksanaan tersebut telah dimeterai antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Perak Combined Bus Services Snd Bhd pada 18 Februari 2016 dan dijangka memulakan operasi dalam masa terdekat.

“Menyedari bahawa masih terdapat beberapa baikpulih yang perlu dilakukan, kerajaan negeri akan memohon kepada SPAD untuk menyalurkan peruntukan tahunan secara sistematik kepada mana-mana badan yang akan ditubuhkan di peringkat negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin.

Dr Mah berkata, setakat ini SPAD Perak mempunyai sebuah cawangan yang dianggotai kakitangan pentadbiran justeru dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan mutlak justeru perkara itu harus ditangani dengan segera.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan melakukan permintaan rasmi kepada SPAD untuk menaiktaraf cawangan sedia ada di Ipoh kepada pejabat negeri yang mampu melaksanakan tugas pentadbiran dan penguatkuasaan.

Merujuk kepada pertanyaan Yong Choo Kiong (DAP – Tronoh) yang mengatakan terdapat bas yang berhenti secara tiba-tiba, Dr Mah berkata, perkara itu telah dikemukakan secara bertulis kepada SPAD untuk membuat tindakan selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Dalam tempoh Januari hingga April 2016, SPAD telah melaksanakan operasi penguatkuasaan sebanyak 12 kali dan 72 kes bagi kesalahan memanggil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan telah diselesaikan,” katanya lagi.


33 views0 comments
bottom of page