IPOH - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed perlu menerima hakikat kepada penjelasan yang dibuat oleh Menteri Luar Arab Saudi bahawa dana RM2.6 bilion merupakan dana yang disumbangkan oleh kerajaan negara itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir itu adalah satu titik nokhtah untuk memuktamadkan isu itu.
Menurut beliau, isu dana RM2.6 bilion itu selama ini dipolimikkan dengan beberapa tujuan tersirat yang memperlihatkan rasa menyampah mengatasi realiti kepada sesuatu isu.
``Siapapun, sama ada individu adalah mantan Perdana Menteri sekalipun, terima hakikat bahawa penjelasan yang telah diberikan adalah satu titik nokhtah untuk memuktamadkan, jika selama ini isu itu dipolimikkan dengan beberapa tujuan tesirat yang memperlihatkan kemenyampahan mengatasi realitii kepada sesuatu isu.,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Outreach Dana Bumiputera Perak di Stadium Indera Mulia Ipoh pada Ahad. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ekspo itu yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di negeri Perak turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun.
Tun Dr Mahathir selama ini tidak putus-putus menuduh dana rm2.6 b ilon itu datangnya dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Terdahulu dalam ucapannya, Zahid meminta agensi di setiap kementerian yang berperanan membantu usahawan sentiasa memberikan khidmat berterusan kepada usahawan supaya memperoleh hasil seperti yang diharapkan.
Katanya, kerjasama antara usahawan dan agensi ini harus diteruskan supaya hasil diharapkan untuk melahirkan usahawan berjaya dapat direalisasikan.
Menurut beliau, kerajaan serius dalam membantu usahawan dengan pelbagai usaha dilakukan dan agenda itu tidak pernah dilupakan walaupun Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sudah tidak wujud.
Katanya, usaha dan agenda membantu usahawan diagihkan kepada pelbagai kementerian bagi memastikan hasil yang diperoleh untuk mewujudkan usahawan diperingkat generasi muda.
Zahid meminta semua agensi yang berkenaan turun ke peringkat akar umbi dan kerjasama dari peringkat akar umbi juga haruslah diterima supaya hasil dapat diperoleh.