IPOH - Pemasangan tambahan 1,200 unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah langkah sebagai pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pemasangan tambahan AES di lebuh raya, jalan Persekutuan dan lampu isyarat akan dilakukan oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengambil alih daripada dua syarikat terdahulu.
"Kita harus melihat AES ini adalah langkah preventif dan kalau kita mahu membudayakan supaya sikap dan kaedah pemanduan di jalan raya sama ada kita berkenderaan ataupun berjalan kaki, maka sikap ini harus diubah jika tidak mahu langkah-langkah punitif ini dilakukan.
"Saya tahu pengumuman itu akan mengundang pelbagai persepsi, tetapi pelaksanaan sistem ini telah lama ditangguhkan, jumlah denda juga telah dikurangkan daripada RM300 kepada RM150 walaupun masih ada yang menanggap ianya membebankan,”katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika pada siding media selepas merasmikan Ekspo Outreach Dana Bumiputera@Perak di Stadium Indera Mulia,Ipoh pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, isu pemasangan AES tidak perlu dipolitikkan kerana ianya merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Kesemua pihak termasuk NGO perlu menunjukkan sokongan supaya matlamat bagi mengurangkan kadar kemalangan dapat dibuat dengan beberapa kaedah menggunakan pendekatan menyeluruh,’’ katanya.