BAGAN SERAI - Pertubuhan Panji Langkasuka Malaysia(Galas) menggesa kerajaan melucutkan kerakyatan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy setelah kenyataan dibuat dalam Facebook terhadap tokoh pendakwah, Dr Zakir Naik disifatkan menghina agama Islam.
Presidennya, Shahizan Sudin berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan kepada pemimpin masyarakat itu kerana bertindak menghasut rakyat di negara ini dengan melabelkan tokoh ilmuan Islam antarabangsa itu dengan gelaran tidak sepatutnya iaitu 'Satan'.
Shahizan(empat kiri) mengetuai demonstrasi mendesak Ramasamy dilucutkan kerakyatan bersama 30 ahli Galas cawangan Perak di IPD Kerian, semalam
"Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya menghormati Perlembagaan Negara yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara dan menerima kehadiran Dr Zakir untuk berdakwah di sini dengan sikap terbuka.
"Sekiranya beliau berpendapat agama Islam tidak perlu dihormati, kami menggesa kerajaan halaunya keluar dari negara ini dan tidak lagi cuba mencetuskan propaganda murahan terhadap tokoh Islam,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Ramasamy di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian.
Laporan polis dibuat pihaknya bersama lebih 30 ahli GALAS negeri Perak dan turut disertai Pertubuhan Veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) cawangan Bagan Serai.
Shahizan berkata, tindak-tanduk Ramasamy itu sebenarnya turut menghina institusi diraja negara ini kerana Dr Zakir sendiri pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun 2012 oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sendiri.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, Ramasamy tidak sepatutnya melakukan tindakan sedemikian kerana Sultan merupakan tonggak kepada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain.
"Saya juga hairan dengan sikap segelintir NGO bukan Islam yang sibuk menfitnah kehadiran Dr Zakir kononnya boleh menggugat kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
"Mereka juga perlu menyedari tindak-tanduk mereka menyentuh sensitiviti umat Islam di negara dan kami menggesa pihak berkenaan agak tidak lagi bersikap 'Islamophobia' dan melampau,"katanya.
Shahizan turut menegaskan memorandum tuntutan Galas akan turut diserahkan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negeri Perak, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dan Ketua Polis Daerah Kerian.