KUMAMOTO: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 mangnitud melanda wilayah Kumamoto, Jepun awal pagi tadi, kurang 24 jam selepas kawasan sama dilanda gempa yang mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan lebih 800 yang lain.
Sekurang–kurangnya tujuh disahkan terkorban dalam kejadian gempa bumi terbaharu itu. Seorang jurucakap kerajaan di Wilayah Kumamoto, Takayuki Matsushita mengesahkan perkara itu dengan menyebut sumber polis dan jabatan bomba. Bagaimanapun siaran television NHK melaporkan sekurang-kurangnya sembilan maut dan 760 yang lain cedera. Susulan gempa itu, agensi meteorologi Jepun pada awalnya mengeluarkan amaran tsunami dengan ombak setinggi satu meter di sepanjang pantai timur pusat gempa di Kumamoto. Menurut agensi berkenaan sebahagian ombak sampai ke kawasan pantai Ariake dan Yatsushiro. Bagaimanapun amaran ditarik balik beberapa jam kemudian.