top of page
muinsapidin

3,522 Rumah Kos Rendah Sejak 2013

IPOH - Sejumlah 3,522 unit rumah kos rendah telah dibina melalui agensi dibawah kerajaan dan kerajaan negeri di seluruh Perak sejak Jun 2013 sehingga Mac 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan, Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rusnah Kasim berkata, statisik itu sekaligus menyangkal dakwaan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming kononnya kerajaan negeri gagal membina walaupun sebuah rumah kos rendah dalam tempoh berkenaan.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nga yang memetik statistik Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) tidak tepat dan salah.

“Pertamanya statisik NAPIC hanya melibatkan projek perumahan terancang dan tidak melibatkan projek-projek di bawah agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, sebab itulah jumlahnya kosong,” katanya pada satu sidang media khas di Ipoh pada Sabtu.

Kata beliau, antara agensi yang telah membina 3,522 unit rumah kos rendah itu ialah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP), Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Program perumahan Rakyat (PPR).

Malah, tambah beliau, masih ada ruang untuk meningkatkan jumlah rumah itu dan kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak pada Sidang DUN, Isnin depan.

“Jika pihak pembangkang ikhlas dalam memperjuangkan isu rumah kos rendah, pastinya mereka perlu menyokong rang undang-undang ini.

“Jika tidak, bermakna mereka hanya bermain politik dalam isu kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Rusnah memberitahu, kerajaan negeri amat komited dalam menyediakan rumah mampu milik dan juga kos rendah untuk rakyat di negeri ini malah antara JUN 2013 hingga Januari 2016, sebanyak 25,679 unit rumah telah dibina bagi kedua-dua jenis rumah itu dan sebanyak 14,958 unit lagi dijangka siap pada tahun hadapan.

“Ini bermakna kerajaan negeri Barisan Nasional telah pun dapat memenuhi aku janji pada PRU 13 yang menyasarkan pembinaan sebanyak 35,500 unit rumah mampu milik termasuk kos rendah di seluruh negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merujuk laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 16 April yang memetik kenyataan ADUN Kepayang itu kononnya kerajaan negeri gagal membina rumah kos rendah.


59 views0 comments
bottom of page