top of page
muinsapidin

Warga Asing Dilarang Berkahwin Semasa Perjanjian Kerja

IPOH - Warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PL(KS) tidak dibenarkan berkahwin di negara ini dalam waktu perjanjian kerja masih berlangsung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya terdapat pemegang PL(KS) yang melanggar syarat berkenaan, Jabatan Imigresen Malaysia berhak membatalkan pas tersebut.

Menurut beliau, bagi pemegang PL(KS) yang ingin berkahwin dengan warga negara Malaysia, PL(KS) itu mesti dibatalkan terlebih dahulu.

“Setelah PL(KS) tersebut dibatalkan atau telah tamat perkhidmatan, warga asing terbabit perlu melalui tempoh `cooling- off period’ selama enam bulan dari tarikh kembali ke negara asal sebelum pas lawatan sosial (jangka panjang) di bawah kategori pasangan kepada warga negara boleh dipertimbangkan,’’ katanya ketika menjawab soalan lisan YB Abu Bakar Hussain (PAS-Titi Serong pada persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Dr Zambry berkata, mengikut rekod Jabatan Imigresen, jumlah warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan/bekas pemegang PL(KS) yang telah berkahwin dan mempunyai Pas Lawatan Sosial (jangka panjang) di bahagian Visa Pas dan Permit Negeri Perak dari tahun 2010-2015 ialah 3,626 orang.

Katanya, pemegang Pas Lawatan Sosial ((Jangka Panjang) di bawah kategori pasangan kepada warga negara adalah layak untuk untuk memohon permit masuk bagi mendapatkan taraf Penduduk Tetap setelah tinggal bersama pasangan selama lima tahun berturutan.

Menurut beliau, isteri kepada warga negara Malaysia, pemegang Permit Masuk boleh memohon Taraf Kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara selepas dua tahun.

Kepada soalan tambahan wakil yang sama, Dr Zambry menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak mengadakan kelas bimbingan khas bagi mereka memantapkan pengetahuan serta melaksanakan ajaran Islam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tahun 2015, seramai 3,981 orang warga asing telah ditahan kerana melakukan kesalahan termasuk bekerja tanpa permit yang sah di samping tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.


143 views0 comments
bottom of page