IPOH - Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Taman Industri (JPTI) negeri Perak adalah satu inisiatif menambahbaik sistem pengurusan taman-taman industri yang ketika ini diselenggara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
JPTI Perak digambarkan seperti Rukun Tetangga bagi memantau hal ehwal taman industri memandangkan peranannya mewujudkan kerjasama di antara kerajaan mahupun swasta dalam menangani permasalahan yang berkaitan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, pengurusan JPTI yang cekap, proaktif dan mesra pelanggan, mampu meyakinkan pelabur untuk memilih Perak sebagai destinasi pelaburan yang baik.
Beliau memberitahu, jawatankuasa itu dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar atau Yang DiPertua pihak berkuasa tempatan, bersama seorang wakil daripada industri bermesyuarat sebanyak empat kali setahun.
“Bagi JPTI induk peringkat negeri, ia dipengerusikan oleh Pengarah UPEN dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia Perak (FMM)," katanya semasa menjawab soalan lisan Cheong Chee Khing (DAP-Bercham) di Persidangan DUN, di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zahir menjelaskan kerajaan negeri bakal menubuhkan satu operator taman industri negeri Perak dalam usaha menswastakan hal ehwal penyelenggaraan taman tersebut.
"Ia akan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam memberikan perkhidmatan kepada pekilang dari aspek kutipan sampah, penyelenggaraan jalan, perparitan dan lampu jalan.
"Di samping itu ia juga terbuka kepada penyediaan perkhidmatan lain seperti kawalan keselamatan, asrama pekerja dan sebagainya, katanya.
Selain itu, kata beliau, dialog industri secara berkala turut diadakan yang melibatkan MIDA, MITI, FMM bersama pengusaha industri untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul.