IPOH – Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa penubuhan sekolah yang berkaitan pendidikan agama Islam, termasuk maahad tahfiz dan mempunyai murid lebih 20 orang hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan pendaftar sekolah agama.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Agama Islam, Pembangunan dan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, penubuhan dan pendaftaran sekolah-sekolah itu termaktub di dalam Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat Islam 1996 dan Kaedah-Kaedah Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1997.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang menubuhkan sekolah tanpa kelulusan pendaftar atau melaksanakan pendidikan di sekolah tanpa didaftarkan, adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah enakmen tersebut.
“Bagi mempastikan penguatkuasaan peraturan ini dipatuhi oleh setiap pengasas tahfiz ini, maka kerjasama daripada pegawai tadbir agama (PTA) daerah diminta untuk membuat pemantauan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Siti Salmah Mat Jusak (BN – Lubuk Merbau) pada pagi Jumaat. Drs Nizar memberitahu, pegawai unit naziranakan melawat sekolah yang membuat permohonan bagi mempastikan pihak sekolah mematuhi syarat-syarat penubuhan seperti prasarana yang lengkap, status tanah yang jelas pemilikannya, prosedur keselamatan dan jemaaah pengurusan.
Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri juga melalui Jabatan Agama Islam bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, bomba dan polis bagi mempastikan isu keselamatan dapat dipatuhi.
“Kerajaan negeri akan mempastikan kesemua pusat tahfiz yang ingin ditubuhkan di Perak akan didaftarkan di bawah jabatan agama Islam dan akan dikemaskini maklumat kurikulum serta hala tuju tahfiz,” ujarnya.
Kepada soalan wakil yang sama, Drs Nizar berkata, generasi Huffaz merupakan produk murni keluaran sekolah menengah tahfiz Perak dalam usaha menghapuskan masalah tidak minat kepada budaya ilmu di kalangan masyarakat Islam. Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sentiasa menyediakan kurikulum tersusun dalam mempastikan generasi insani ini sentiasa dilatih bagi menangani perkara tersebut. Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan memastikan pelajar tahfiz yang berilmu keluaran negeri Perak tidak terpesong dan sentiasa dibimbing al-Quran serta nilai kemuliaan dan budi pekerti luhur dalam ajaran Islam.