top of page
muinsapidin

PKNP Wujud Terminal Makanan Halal Di Lumut

IPOH - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah mewujudkan sebuah terminal makanan halal dan pusat pengumpulan produk-produk usahawan di IKS Kampung Acheh, Lumut. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohd Zahir Abduk Khalid berkata, projek itu telah dibangunkan di atas tapak milik PKNP.

Menurut beliau, di bawah projek itu, lot-lot industri kilang yang telah siap dibina dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran produk-produk usahawan di daerah Manjung. “Terdapat 28 unit lot kilang teres yang telah siap dibina dimana 10 unit daripadanya telah dijual kepada pengusaha industri, tiga unit telah disewakan manakala 15 unit dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran produk usahawan,’’ katanya semasa mengulung perbahasan titah diraja pada persidangan Dewan Negeri Perak di Ipoh pada Jumaat. Menurut Zahir, seramai 12 orang usahawan yang didaftarkan di bawah MARA telah dikenalpasti untuk menyewa kilang-kilang tersebut dan akan ditempatkan di pusat ini bagi memudahkan pemantauan. Dalam pada itu, beliau memberitahu, projek Taman Eko burung walit @ Manjung tidak diuruskan oleh PKNP memandangkan tapak itu dimajukan oleh syarikat BIO Research (M) Bhd. Katanya, tapak itu dimajukan oleh syarikat berkenaan melalui perjanjian pembangunan `Development Agreement’ bagi mendirikan 51 lot bangunan industri di atas tapak seluas 5.93 ekar untuk dijadikan sebagai projek ``Swiflet Eco Park’’ di kawasan IKS Kampung Acheh, Lumut. Zahir turut menyentuh mengenai hasrat kerajaan negeri Perak untuk menjadikan Manjung dan Lekir sebagai Lembah makanan negeri Perak. Katanya, hasrat itu adalah selaras dengan matlamat pihak Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menjadikan koridor utara sebagai zon pengeluaran makanan moden. Katanya, makmal yang melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah dan Tanah, Veterinar dan lain-lain telah mengenalpasti komponen-komponen aktiviti pertanian yang berpotensi untuk dimajukan di lembah makanan ini. “Komponen-komponen ini termasuklah pembangunan industri sayuran, buah-buahan dan industri akuakultur,’’ katanya. Menurut Zahir, komponen-komponen itu perlu dipacu melalui pelaburan pihak swasta dengan kerjasama dari jabatan-jabatan kerajaan negeri Perak. Katanya, NCIA memberi kemudahan serta memainkan peranan untuk mengembangkan sesuatu aktiviti sebagai industri dengan melahirkan ekosistem yang diperlukan bagi membangunkan industri tersebut. Beliau memberitahu, kawasan seluas 20 hektar di Taman kekal pengeluaran makanan Negara Lekir Manjung akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat sebagai komponen kepada pembangunan Pusat Agrotani Moden di Lekir.


53 views0 comments
bottom of page