top of page
muinsapidin

Perak Tiada Tunggakan Bayaran Hutang

IPOH - Hutang Kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan telah berkurang tahun demi tahun sehingga tinggal kira-kira RM57 juta setakat 14 April 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pada 31 Disember 2011 baki pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM75.76 juta, tahun 2012 (RM73.17 juta), tahun 2013 (68.46 juta), tahun 2014 (RM63.92 juta) dan 2015 (RM59.37 juta).

Menurut beliau, pinjaman tersebut melibatkan projek kemudahan asas untuk faedah rakyat iaitu Rancangan Perumahan Awam Kos Rendah, Rancangan Pembangunan Perusahaan dan pelbagai projek.

Beliau memberitahu, jumlah bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan untuk tahun 2011 (RM2.57 juta), tahun 2012 (RM2.59 juta), tahun 2013 (RM4.71 juta), tahun 2014 (RM4.54 juta dan 2015 sebanyak RM4.55 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mempastikan peruntukan disediakan setiap tahun dan mencukupi untuk pembayaran balik hutang kepada kerajaan Persekutuan mengikut jadual bayaran balik yang telah ditetapkan dan sehingga kini tiada tunggakan bayaran balik.

“Berdasarkan kepada itu, Perak adalah adalah antara pembayar hutang terbaik di Malaysia,” katanya semasa menjawab soalan YB Wong Kah Who (DAP-Canning) pada persidangan Dewan Negeri di Ipoh pada Jumaat.

Dr Zambry berkata, jumlah hutang yang berkenaan tidak termasuk pinjaman bagi projek bekalan air Lembaga Air Perak sebanyak RM549.26 juta.

Menurut beliau, pinjaman itu sedang dalam proses penstrukturan semula untuk fasa kedua di mana ia akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selepas pelaksanaan projek-projek bekalan air di seluruh negeri disiapkan yang melibatkan penaiktarafan loji bekalan air dan penggantian paip-paip utama yang lama.

Katanya, setelah migrasi aset dan pinjaman tersebut kepada PAAB, pinjaman tersebut tidak lagi menjadi tanggungan kepada kerajaan negeri.


5 views0 comments
bottom of page