IPOH - Kerajaan negeri Perak bersedia menerima mana-mana tokoh agama yang ingin menyampaikan ilmu mereka di negeri ini, termasuk penceramah dari Mumbai, India, Dr Zakir Naik.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, isu kononnya ceramah Dr. Zakir menyentuh sensitiviti agama lain dan terdapat unsur-unsur menghina agama lain adalah tidak benar dan hanyalah sangkaan sahaja.
Menurut beliau, Dr. Zakir adalah seorang cendiakawan Islam yang mempromosikan persefahaman antara agama berdasarkan teks-teks agama yang asli.
Tambahan pula, kata beliau, Dr Zakir telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan oleh kerajaan Malaysia tahun 1435H/2013M.
“Kerajaan negeri bersedia menerima tokoh agama yang ingin menyampaikan ilmu mereka di negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah diraja pada Jumaat.
Mengenai cadangan supaya golongan hafiz ditempatkan sebagai imam di masjid-masjid seluruh negeri, Drs Nizar menjelaskan, calon imam adalah diutamakan dari ahli kariah.
Bagaimanapun, kata beliau, pelantikan imam adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Tahun 1998 di mana calon-calon akan dikemukakan oleh jawatankuasa kariah untuk ditemuduga oleh panel yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak.
“Kita akan Amat bersetuju keutamaan diberi kepada para Huffaz disamping memiliki ilmu feqah, tarranum dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau memberitahu, para Huffaz yang ada di negeri ini terdiri daripada pelajar yang belajar di sekolah kerajaan negeri (8 buah) mempelajari akademik dan hafazan di samping 46 buah maahad tahfiz yang berdaftar.