Tindakan ADUN Kepayang, Nga Kor Ming memperlekehkan peruntukan RM10 juta bagi tujuan mempromosi pelancongan di negeri ini satu pembaziran seolah-olah menidak fakta kejayaan Perak dalam sektor pelancongan negara.
Menafikan dakwaan itu sekerasnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata hasil usaha keras kerajaan negeri mempromosi Perak, negeri ini kini berada di tempat teratas daripada segi kedatangan pelancong domestic.
Katanya Perak telah mencatatkan kemasukkan lebih daripada 7 juta pelancong domestik buat tiga tahun berturut turut.
Jelasnya, data ini dikeluarkan Kementerian Pelancongan Malaysia dan kerajaan negeri tidak menipu dalam menyatakan bahawa strategi-strategi promosinya telah berjaya.
“Ini adalah fakta. Adakah tuduhan Nga disokong apa-apa fakta apabila menuduh kita membuat satu pembaziran kerana tiada promosi untuk Perak dan orang tidak datang ke Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar dewan pada hari keempat sidang DUN hari ini.
Mengulas isu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang dibangkitkan Nga, Dr Zambry membidas wakil rakyat pembangkang itu kerana membuat tuduhan tanpa asas.
Beliau berkata terdapat 40 penerbangan yang disediakan oleh syarikat penerbagan tambang murah Firely, Malindo, Tiger Air dan Srivijaya.
“Masalahnya bukan ketiadaan penerbangan tetapi lapangan terbang telah menjadi kecil kerana frekuensi penerbangan yang semakin banyak,”katanya.
Dr Zambry berkata taktik pihak pembangkang mengkritik setiap usaha kerajaan adalah mainan politik mereka untuk mewujudkan persepsi buruk.
“Tujuan mereka adalah untuk mengatakan kerajaan mereka (Pakatan) sahaja yang elok dan hanya mereka yang pandai memerintah.
Ada sesetengah pihak yang akan mempercayai penipuan mereka tetapi kita bukan bodoh kerana kita boleh periksa fakta dan buat perbandingan,” katanya.