ADUN Kepayang, Nga Kor Ming berbohong apabila menuduh kerajaan negeri Perak gagal menyediakan kemudahan perumahan kepada golongan memerlukan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kecewa dengan tuduhan itu berkata kerajaan negeri tidak pernah menipu dalam melaksanakan tanggungjawab nya memenuhi keperluan asas rakyat negeri ini.
Menurut beliau, masalah perumahan merupakan salah satu agenda penting kerajaan negeri kerana percaya kemudahan perumahan adalah hak setiap rakyat.
“Oleh itu, sehingga Januari 2016, kita telah membina sejumlah 25,679 unit rumah mampu milik manakala bagi kategori kos rendah pula sejumlah 3,764 unit telahpun siap dibina dalam tempoh tiga tahun sejak 2013 untuk diagihkan kepada keluarga miskin di negeri ini.
“Fakta-fakta ini bercanggah dengan kenyataan daripada Nga mengatakan kerajaan negeri langsung tidak membina rumah kos rendah, manakala bagi rumah mampu hanya 800 unit sahaja dibina sejak tahun lepas.
Nga turut memperlekehkan kita mengatakan Perak berada di tempat kedua terbawah selepas Kelantan dalam penyediaan rumah walhal keadaan sebenarnya adalah sebaliknya,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media sejurus selepas ADUN Kepayang membahaskan teks ucapannya di Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Persidangan DUN pada petang Jumaat.
Katanya berdasarkan jumlah keseluruhan unit rumah yang telah berjaya disiapkan Perak sekaligus mendahului Selangor yang jauh ketinggalan dengan hanya 14,167 unit rumah dibina manakala Penang sebanyak 10,233 unit.
Katanya, dalam tempoh kurang dari dua tahun dari tempoh Jun 2013 hingga ke Ogos 2015 pihak kerajaan negeri Perak juga telah berjaya menjalinkan usahasama bersama pelbagai pihak swasta bagi penyediaan rumah mampu milik.
“Tuduhan Nga adalah satu penyelewengan fakta kerana menurutnya kita hanya menyediakan 871 unit rumah sejak tahun 2008 padahal ianya hanyalah laporan yang diberikan menurut perumahan yang didaftarkan di bawah lembaga.
“ Malah, kita dalam proses melaksanakan projek membina sebanyak 19,959 unit rumah lagi dengan kerjasama pihak PR1MA untuk membantu memenuhi keperluan golongan sederhana di negeri ini.
“Jangan ambil kesempatan dan bermain poliik untuk membelasah kerajaan, ianya langsung tidak membawa kebaikan malah cukup terpesong,”katanya.