KUALA KANGSAR - Henti ambil kesempatan dan viralkan kisah keluarga saya, kata waris keluarga seorang wanita yang meninggal dunia selepas lapan hari melahirkan anak kembar di Kati dekat sini.
Abdul Razak Nordin, 44, adik kepada arwah Roshidah Nordin, 45 berkata, keluarga kakaknya tidaklah sedaif seperti yang diviralkan, malah telahpun mendapat bantuan daripada pihak berwajib seperti Baitumal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin tempatan.
Menurut Abdul Razak, pihak keluarga juga masih mampu menyelesaikan segala urusan secara sendiri dan cerita kononnya elektrik serta bekalan air di rumah arwah kakaknya telah dipotong adalah tidak benar.
“Perkara ini benda yang baik tetapi telah disalah ertikan, sebenarnya tiada masalah yang perlu dirisaukan mengenai segala kelengkapan bantuan dan sebagainya kerana adik beradik kami masih mampu.
“Saya minta pihak yang mensensasikan cerita ini, tolong berhentikan dan beri keluarga kami privasi dalam waktu yang sukar ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis tahlil di rumah arwah pada Jumaat.
Katanya lagi, soal urusan Sembilan orang anak kakaknya, termasuk kembar lelaki yang baru dilahirkan itu juga akan dibincang secara dalaman bersama-sama ahli keluarga yang lain.
“Kami masih lagi dalam keadaan terkejut, kami tak sempat lagi membincangkan apa-apa, jadi, beri kami masa selepas selesai perkara ini baru kami akan berbincang bersama adik beradik lain,” ujarnya.
Namun, kata Abdul Razak, pihak keluarga tetap menghargai keperihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat yang tidak putus-putus menghantar SMS dan menghubungi mereka.
Menurutnya, walaupun mahu penyebaran berita itu dihentikan, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana indivdu yang mahu tampil memberikan sumbangan.
Dalam pada itu, ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor yang turut sama hadir pada majlis tahlil itu menggesa mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan terhadap nasib malang yang menimpa keluarga berkenaan.
“Perkara ini sebenarnya tiada masalah, dah selesai dah pun dan saya harap kita semua hentikan penyebaran, buat ini sebagai pengajaran.
“Kepada sesiapa nak menyumbang, boleh terus menyumbang kepada keluarga mangsa, tak perlu ada pihak ketiga atau sebagainya kerana ia akan merumitkan keadaan, sesiapa nak melawat juga boleh terus datang ke rumah ini,” ujarnya.
Pada Sabtu, berita mengenai kematian seorang ibu yang mempunyai sembilan orang anak termasuk sepasang kembar dan kononnya mempunyai satu botol susu , belum mandi kerana bekalan air dipotong serta tidak mempunyai lampin, menjadi viral di dalam media sosial.