top of page
muinsapidin

Hanya Perak Sedia Pakej Kebajikan Guru KAFA

IPOH – Hanya negeri Perak yang melaksanakan pakej kebajikan dengan penyediaan pelbagai kemudahan kepada guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, antara kemudahan yang disediakan ialah skim perlindungan takaful secara percuma, pemberian anugerah kecemerlangan pendidikan Islam serta penyediaan kemudahan pinjaman melalui Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK).

Menurut beliau, selain itu, elaun bulanan RM200 yang disumbangkan oleh kerajaan negeri juga tetap diteruskan kepada guru bersalin, walaupun elaun bulanan RM800 yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberikan kepada guru ganti. “Penyediaan kemudahan tersebut hanya negeri Perak sahaja melaksanakan pakej kebajikan tersebut berbanding negeri-negeri lain,” katanya ketika menggulung perbahasan usul titah diraja pada Jumaat. Drs Nizar menjelaskan, kelas KAFA merupakan salah satu program JAKIM dan guru-gurunya lantikan itu berstatus sambilan di seluruh Malaysia dengan pemberian elaun bulanan sebanyak RM800. Menurutnya, kerajaan negeri telah menambah elaun bulanan sebanyak RM 200, menjadikannya RM 1,000 yang dibayar sepanjang tahun termasuklah cuti persekolahan. “Selain itu, guru-guru KAFA juga menerima elaun tambahan daripada perkapita kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Perak dan purata jumlah elaun yang diterima adalah di antara RM 1,200 ke RM 1,500 sebulan,” ujarnya. Merujuk cadangan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN – Kampung Gajah) agar kelas-kelas Fardhu Ain diwajibkan kepada pelajar sekolah rendah, Drs Nizar berkata, ia memerlukan kajian lanjut. Beliau memberitahu, falsafah Pendidikan Islam di negeri Perak adalah untuk melahirkan manusia yang cemerlang, berilmu dan berhikmah. Katanya, pendidikan kelas fardhu ain di negeri Perak dilaksanakan dalam tiga bentuk, iaitu KAFA Integrasi , KAFA Tulen dan yang akan dilancarkan program KAFA Menengah. “Ini menjadikan negeri Perak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia mempunyai tiga bentuk pendidikan KAFA,” tambahnya.


207 views0 comments
bottom of page