IPOH - Tiada unsur berat sebelah mahupun diskriminasi dari segi tatacara keahlian dan pelaksanaan Dewan Belia negeri Perak kerana penubuhannya bertujuan untuk melatih dan mengasah kepimpinan pelapis. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, ia memperlihatkan asas matlamat untuk berkongsi dan mendasari keperluan serta kehendak generasi muda berdasarkan tujuh usul yang telah dibahaskan.
Menurut Shahrul, beliau sendiri pada sidang Bajet Negeri 2016 bertarikh 20 November tahun 2015 telah mewar-warkan untuk memohon bantuan semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang. “Untuk tarik lebih ramai penyertaan calon dari kalangan bangsa Cina, India dan OKU, penambahbaikan dalam gerak kerja sedang dilaksanakan untuk memastikan DUN Belia berfungsi dengan lebih baik," katanya semasa menggulung perbahasan titah diraja di sidang DUN pada Jumaat. Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu keganasan bola sepak atau hooliganism yang kian menjadi jadi sejak kebelakangan ini. "DYMM Paduka Seri Sultan Perak begitu mahu sukan menjadi medium perpaduan, selain itu PAFA sentiasa memperjuangkan anti-keganasan bola sepak. "Kita perangi hooliganism habis-habisan, kita perlu fokus menyokong pasukan secara positif. Jangan termakan provokasi, jangan bertindak balas dan berdendam kerana ia tiada berkesudahan, " ujarnya. Menyentuh serba sedikit isu sukan negeri, Shahrul menjelaskan pihaknya mengambil serius cadangan agar Litar Dato' Sagor dinaik taraf selain mengenal pasti kawasan daerah Kinta yang berpotensi untuk dibina litar seumpamanya. "Pandangan antarabangsa tertumpu kepada ke arah kita apabila Khairul Idham Pawi anak jati Kampung Gajah telah harumkan nama Malaysia. “Penghargaan yang diberikan kepadanya baru-baru ini diharap menjadi iltizam untuk menempa lebih banyak kemenangan," katanya.