MASVINGO - ZIMBABWE. Jururawat dan kakitangan hospital terkejut selepas mendapati seorang wanita melahirkan bayi kembar yang salah seorang daripadanya tidak mempunyai kepala, lapor Zimbabwe Newsday.
Bagaimanapun, salah seorang bayi kembar tersebut normal namun mempunyai kepala yang besar turut meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan.
Gambar Hiasan
Walaupun pihak hospital enggan mendedahkan identiti wanita itu, sumber berkata, keadaanya stabil.
Sumber hospital berkata, jururawat yang membantu wanita itu ketika melahirkan anak terkejut selepas mendapati salah seorang daripada bayi kembar berkenaan dilahirkan tanpa kepala.
Pemangku pengarah perubatan wilayah Masvingo, Dr Amadeus Shamu, semalam mengesahkan kelahiran seorang bayi tanpa kepala di Hospital Besar Masvingo dan berkata keadaan itu adalah disebabkan oleh keabnormalan kongenital.
"Memang benar ada kes kelahiran seorang bayi tanpa kepala, namun ia adalah sesuatu yang jarang berlaku dan ia dikenali sebagai keabnormalan kongenital yang pada dasarnya janin terbentuk semasa peringkat awal kandungan.
"Janin tanpa kepala tidak serasi dengan kehidupan selepas kelahiran pra-matang, manakala kembar satu lagi yang lahir hidup tetapi dengan kepala yang sangat besar, meninggal dunia selepas beberapa minit, '' tambah Dr Shamu.
Dr Shamu berkata, ibu kepada kembar masih ditahan untuk memantau keadaannya.
"Kita malangnya tidak boleh mendedahkan identiti wanita itu, namun keadaanya stabil. Ia amat jarang berlaku bagi seseorang untuk melahirkan anak tanpa kepala, '' kata Dr Shamu.
Menurutnya lagi, kecacatan pada janin tanpa kepala mungkin disebabkan oleh kecacatan tiub neural pada peringkat organogenesis itu.
"Peringkat organogenesis adalah peringkat apabila organ-organ mula berkembang dalam kehamilan dan mungkin ada kecacatan tiub neural yang menyebabkan kecacatan pada janin yang menyebabkan ia dilahirkan tanpa kepala, '' ujarnya.