top of page
muinsapidin

50 Peratus Peserta BantuNita Berjaya Tingkat Pendapatan

IPOH - Sebanyak 50 peratus daripada 247 wanita di negeri ini yang menyertai program BantuNita berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata, 47 daripada peserta itu yang menerima bantuan modal dan peralatan perniagaan, adalah ibu tunggal.

Menurut beliau, kebanyakkan wanita yang dipilih adalah dari keluarga berpendapatan rendah, di samping sebilangannya adalah penerima bantuan JKM dan Baitumal.

“Hasil pemantuan Jabatan Pembangunan Wanita baru-baru ini telah menunjukkan 50 peratus penerima bantuan di bawah seliaan JPW berjaya meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika menggulung titah diraja di Sidang DUN Perak pada Jumaat.

Tambah beliau, selain BantuNita, program-program kemahiran juga telah diberi secara percuma kepada wanita yang layak, termasuk Ibu tunggal untuk mempelajari bidang kemahiran seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Rusnah memberitahu, terdapat dua program utama iaitu Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita).

“Bagi tahun 2015 seramai 70 orang usahawan dan bakal usahawan wanita telah dilatih,” tambahnya.

Menurut beliau, bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan ekonomi wanita, pihaknya akan melaksanakan program yang dinamakan “Pengurusan Kediaman” tahun ini.

Beliau menjelaskan, program itu antara lain berhasrat menjadikan kerja-kerja seperti membasuh, melipat dan menggosok pakaian, mencuci dan mengemas rumah kediaman, sebagai satu pekerjaan yang produktif dan boleh menjana pendapatan.

“Buat permulaan seramai 30 wanita akan dilatih di bawah program ini dan diharapkan Pengurus Kediaman ini juga dapat membantu wanita bekerja menguruskan hal rumah tangga dengan lebih berkesan,” ujarnya.


17 views0 comments
bottom of page